Bola Sepak

Berita gembira buat PJFC, Selangor FC dan UiTM FC

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PETALING Jaya City FC, Selangor FC dan UiTM FC kini dibenarkan kembali beraksi di stadium masing-masing susulan keputusan Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jika sebelum ini mereka terpaksa menumpang beraksi diluar Lembah Klang tetapi dengan saingan yang bakal bermula Sabtu ini mereka akan beraksi digelanggang sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, PJ City FC dan Selangor FC dibenarkan untuk kembali beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

“Dua pasukan Liga Premier iaitu Negeri Sembilan FC dan Skuad Projek FAM-MSN juga dibenarkan kembali beraksi di venue asal masing-masing iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Stadium UiTM, Shah Alam.

“Berdasarkan perkembangan terkini yang diumumkan oleh pihak kerajaan, pasukan-pasukan yang sebelum ini berada di kawasan PKPD kini dibenarkan untuk menggunakan venue masing-masing selepas PKPD ditamatkan termasuk daerah Seremban petang ini untuk membolehkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi digunakan pasukan Negeri Sembilan FC.

“Ini sudah pasti berita yang menggembirakan buat pasukan terbabit memandangkan sebelum ini mereka tidak dibenarkan beraksi di venue dalam kawasan PKPD dan diminta mencari venue lain.

“Dengan keputusan terbaharu ini, saya percaya ia akan memudahkan pasukan-pasukan dalam membuat persediaan menjelang Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 24 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Menerusi pindaan terbaharu itu turut menyaksikan, perlawanan di antara UiTM FC melawan Perak FC yang sebelum ini dijadualkan pada Ahad, 8 Ogos 2021 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dipinda pada 7 Ogos 2021 di Stadium UiTM, Shah Alam jam 9 malam.

Dalam pada itu, berkenaan dengan SOP Fasa 2 Bagi Seluruh Negeri Sabah yang berkuatkuasa 10 Julai lalu di mana kuarantin selama 14 hari dikenakan kepada individu yang ingin memasuki negeri itu, Dato’ Ab Ghani menjelaskan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia.

“Kami berharap, permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah akan diluluskan.

“Ini bagi memudahkan kemasukan pasukan-pasukan Liga Malaysia yang berada dalam Gelembung Sukan ini memasuki Sabah tanpa menjalani kuarantin dalam tempoh lama.

“MFL ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa negeri yang sememangnya banyak membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia,” ujarnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: