Oleh : SUBKHI SUDARJI
SASARAN pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diumumkan seminggu sebelum hari pembukaan temasya yang dijadualkan 23 Julai nanti.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu tidak boleh diumumkan sekarang kerana perlu melalui beberapa proses lagi termasuk perjumpaan dengan atlet, esok.
Katanya, perjumpaan bersama pengurus pasukan dan jurulatih sudah diadakan bagi mendapatkan pandangan sebenar mengenai peluang atlet di Tokyo.
“Perkara ini saya sudah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang baru-baru ini, selepas ini saya akan berjumpa dengan atlet iaitu pada hari Sabtu.
“Kemudian saya akan jumpa atlet sendiri pada Sabtu ini dan akhirnya saya akan bawa untuk maklumkan kepada Kabinet juga berkaitan perkembangan terkini atlet kita.
“Selepas itu kita akan bersama Perdana Menteri untuk mendengar mandat dan perkara ini akan dibentangkan kepada kabinet sebelum diumumkan kira-kira seminggu sebelum perasmian Sukan Olimpik. Mungkin 16 Julai atau 17 Julai,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.
Sukan Olimpik Rio 2016 merupakan pencapaian terbaik negara apabila berjaya merankul lima pingat dari sukan badminton, terjun dan berbasikal.











Add Comment