EURO 2020

Jaringan masa tambahan Kane bawa England ke final


Image
Penalti Kane julang England ke babak akhir EURO 2020.

ENGLAND mengiringi Itali ke perlawanan akhir UEFA Euro 2020 apabila menewaskan Denmark 2-1 selepas 120 minit perlawanan yang cukup sengit di Stadium Wembley, London.

Gol jaringan kapten pasukan, Harry Kane memastikan England ke pentas akhir buat kali pertama dalam kejohanan besar selepas kali terakhir melakukannya 55 tahun yang lalu pada Piala Dunia 1966.

England banyak menguasai perlawanan dengan Raheem Sterling banyak mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Denmark yang diketuai kapten Simon Kjaer.

Denmark dilihat sangat berdisiplin ketika bertahan dan begitu merbahaya ketika melancarkan serangan balas namun dihampakan kecekapan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Image
Denmark berpesta awal menerusi jaringan sepakan percuma Damsgaard.

Gol pembukaan perlawanan menjadi milik Denmark apabila sepakan percuma Mikkel Damsgaard pada minit ke-30 berjaya menggegar jaring England. Ini juga adalah gol pertama yang dilepaskan England di sepanjang kejohanan ini.

Berselang sembilan minit, England menyamakan kedudukan apabila Bukayo Saka berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut hantaran Harry Kane sebelum melintangkan bola ke dalam kotak penalti yang malangnya ditampan ke gawang sendiri oleh Kjaer.

Kasper Schmeichel cemerlang menafikan tandukan Harry Maguire untuk memastikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

England terus melancarkan serangan bertali arus ke gawang Denmark tetapi sekali lagi pertahanan mereka menampilkan persembahan berdisiplin untuk mengecewakan skuad The Three Lions.

Gareth Southgate melakukan beberapa pertukaran dengan membawa masuk Jack Grealish namun masih buntu untuk mencari gol kemenangan dan akhirnya perlawanan diheret ke masa tambahan.

Kemasukan Phil Foden dan Jordan Henderson dilihat membantu serangan England dan akhirnya berjaya mendapat sepakan penalti apabila Raheem Sterling dijatuhkan walaupun ulang tayang melihatkan tiada sentuhan dilakukan tetapi disahkan oleh video bantuan pengadil (VAR).

Harry Kane tampil mengambil sepakan penalti dan berjaya ditepis Schmeichel tetapi bola lantunan itu disambar semula Kane untuk meletakkan England 2-1 dihadapan pada minit ke-104.

Kedudukan itu kekal hingga tamat 120 minit dan England kini bakal berhadapan gergasi Eropah, Itali dalam pertembungan akhir klasik yang dijadualkan di Stadium Wembley London pada 11 Julai nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading