
PENANTIAN 11 tahun untuk menikmati saingan Liga Super yang diidamkan Mohd Fakhrullah Rosli akhirnya menjadi kenyataan apabila dia kini antara taruhan Melaka United FC.
Memulakan karier selaku pemain bola sepak, di peringkat Piala Belia dan Piala Presiden bersama Melaka sebelum mula beraksi di Liga Premier pada 2010 sebelum di Liga FAM hingga musim 2013, karier Mohd Fakhrullah terus mendapat perhatian.
Buktinya pemain kelahiran Jasin ini meneruskan karier bersama DRB Hicom FC di saingan Liga Premier selama dua musim (2014-2015) sebelum kembali ke saingan Liga FAM bersama SAMB (2017-2018) dan MOF FC (2018).
Dia kini bersama Melaka United dan biarpun tahun pertama bersama Melaka tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan namun musim ini dia sudah mula berjaya mengetuk pintu hati jurulatih, Zainal Abidin Hassan dengan diturunkan selaku watak ‘supersub’ dalam 11 perlawanan serta berjaya menghasilkan satu gol.
Baginya, dia sama sekali tidak menyangka selepas aksi cemerlangnya bersama SAMB, dia mendapat panggilan daripada pengurusan Melaka yang mahukan khidmatnya bagi menghadapi saingan Liga Super 2020.
“ Dua tahun lalu adalah detik terbaik dalam karier saya apabila sebaik saingan M3 tamat, saya dihubungi oleh Asri Ninggal yang merupakan penolong jurulatih Melaka.
“ Sebaik dia memberitahu ada tawaran, saya memang tidak percaya pada mulanya kerana bermain di Liga Super sedangkan saya hanya beraksi di Liga M3 sahaja pada waktu itu.
“ Namun, mungkin sudah rezeki saya selepas sekian lama menanti saat sebegini sejak saya bermain bola sepak kerana memang sangat susah sebenarnya mendapat peluang bermain di Liga Super kerana persaingan begitu tinggi.
“ Terima kasih kepada SAMB yang menyelamatkan karier saya selepas masalah pengurusan di Perlis pada 2019 dan apa yang terjadi mungkin ada hikmah tersendiri.
“ Apa yang terjadi kepada saya diharapkan dapat berikan semangat kepada rakan-rakan di luar sana, jangan berputus asa walaupun terpaksa bermula dari bawah.
“ Di mana sahaja kita bermain, berikan kesungguhan sebaiknya dan peluang itu akan datang jika kita tidak berputus asa kerana bola sepak ini rezekinya sukar dijangka, ” katanya.





Add Comment