
JURULATIH Belanda, Frank De Boer meletak jawatan selepas pasukan itu tersingkir daripada saingan 16 pasukan terbaik Euro 2020.
Oranje tewas 2-0 kepada Republik Czech dalam aksi kalah mati Ahad lalu yang sebelum ini mencatat tiga kemenangan dalam saingan kumpulan yang berlangsung di Amsterdam.
De Boer memberitahu, dia mengambil keputusan untuk meletak jawatan bagi memberi peluang lebih baik kepada pasukan Belanda untuk mengharungi Piala Dunia tahun depan.
“Selepas membuat penilaian, saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan tugas sebagai jurulatih kebangsaan.

“Objektif tidak dicapai… jelas.
“Apabila saya ditawarkan sebagai jurulatih negara pada tahun 2020, saya fikir ia satu penghargaan dan cabaran.
“Tetapi saya juga sedar bahawa tekanan akan timbul sebaik sahaja saya dilantik dan sekarang tekanan itu semakin meningkat.
“Ia bukan sahaja situasi yang tidak sihat buat saya, tetapi kepada skuad yang akan berdepan dengan perlawanan penting (bertemu Norway) September ini bagi Kelayakan Piala Dunia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, sudah tentu buat semua pemain dan penyokong. Penghargaan saya juga kepada pihak pengurusan yang telah mencipta suasana sukan yang terbaik”.





Add Comment