Bola Sepak

ACL: Tiga penalti Pohang Steelers hampakan JDT

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Bergson dikawal ketat pemain-pemain Pohang Steelers. Foto: JDT

Oleh: JJFIRDAUS

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara AFC apabila tewas 1-4 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Tiga sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil Australia, Shaun Evans kepada Pohang Steelers membunuh sisa perjuangan skuad kendalian Benjamin Mora ini.

Mora melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama dengan Afiq Fazail kembali di posisi tengah menggantikan Akhyar Rashid manakala Safawi Rasid langsung tidak tersenarai dalam skuad.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan renyai merencatkan sedikit corak permainan kedua-dua pasukan dengan banyak kekasaran dilakukan.

JDT berjaya mendahului pada minit ke-17 apabila rembatan Leandro Velazquez terbias kaki pertahanan Pohang untuk memberikan Leandro gol kedua kejohanan.

Bagaimanapun 10 minit kemudian, Leandro melakukan kesilapan apabila mengasari pemain sayap Pohang dalam kotak penalti sekaligus memberikan penalti yang mudah disempurnakan oleh Boris Tashti.

Berselang tujuh minit Pohang dihadiahkan satu lagi sepakan penalti kali ini hasil kesilapan Mauricio yang melakukan terjahan lambat ke atas Mario Kvesic yang terlebih dahulu berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Kang Sangwoo gagal menyempurnakan penalti itu yang ditepis Farizal Marlias namun pengadil mengarahkan sepakan diambil sekali lagi kerana Farizal telah bergerak lebih awal. Kali ini Sangwoo tidak melakukan kesilapan untuk gol kedua Pohang pada minit ke-35.

Babak kedua menyaksikan JDT mengawal keseluruhan perlawanan tetapi beberapa percubaan dari Bergson dan Natxo Insa gagal menemui sasaran.

Mora memasukkan Mohamadou Sumareh menggantikan Afiq Fazail yang kelihatan sedikit gugup bagi menambah sengat serangan Harimau Selatan dan pemain kebangsaan itu berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Pohang.

Ketika JDT ghairah menyerang, Kwon Gi-Pyo menambah luka JDT pada minit ke-82 apabila mudah menolak masuk setelah berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menyukarkan misi JDT untuk mendapatkan gol penyamaan.

Guilherme De Paula melakukan debut bersama JDT apabila masuk menggantikan Natxo Insa dan bergandingan dengan Bergson untuk menguatkan serangan tetapi Pohang yang berjaya menambah satu lagi gol sekali lagi menerusi penalti yang disempurnakan Lim Sang-Hyub untuk keputusan 4-1.

JDT kini ditangga ketiga dengan tiga mata dan bakal bertemu semula dengan Pohang Steelers pada 1 Julai ini untuk perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: