Badminton

Badminton kekal kental di hati Davincy

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Davincy bersama keluarganya yang turut aktif dalam badminton.

SUKAN mampu menyatukan rakyat, dan bagi keluarga Saha badminton pula menyatukan keluarga.

Itulah pendekatan Davincy Saha kepada anak-anaknya selepas melihat cara yang diguna pakai oleh bapanya, Allahyarham Sanusi Mohamad dalam mengeratkan hubungan keluarga badminton itu.

Keluarga Saha – cantuman suku kata pertama daripada nama bapa dan ibunya, Hayatee Ahmad, adalah antara tiga keluarga Melayu yang mewarnai badminton negara, selain Sidek dan Hashim.

Selain Davincy, tiga adiknya – Eddeeza, Fredyno dan Geevien turut berada dalam skuad kebangsaan pada awal 1990-an, manakala abangnya, Cheiryl dan dua lagi adiknya, Hartini dan Idyvino turut aktif dalam sukan ini.

Dylyya juara di Sirkit Remaja Kebangsaan 2015.

Kalau dulu, Davincy dan enam lagi adik beradiknya, disemai bakat mereka oleh bapa mereka, kini anak kedua daripada tujuh bersaudara itu ’menurunkan’ ilmu kepada dua anak perempuannya – Dyvylyn, 20, dan Dylyvya, 18.

Antara kejayaan Dyvylyn ialah muncul juara perseorangan dan beregu perempuan bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta juara perseorangan bawah 12 dan 14 tahun, masing-masing pada Grand Prix Remaja Kebangsaan 2013 dan 2015.

Di pentas antarabangsa, Dyvylyn turut muncul juara bawah 15 tahun Piala Forza di Slovenia 2013 dan juara perseorangan dan beregu perempuan bawah 17 tahun Siri Kumpulan Umur Alpha, Singapura 2018.

Bagi Dylyvya pula, dia pernah muncul naib juara beregu perempuan bawah umur 12 tahun MSSM 2015, juara beregu perempuan bawah 12 tahun liga pertama dan kedua Sirkit Remaja Kebangsaan 2015.

Dyvylyn muncul juara di Sirkit Remaja Kebangsaan 2013.

Dylyvya juga muncul juara perseorangan bawah 13 tahun Piala Forza, Slovenia 2013 dan juara beregu bawah 17 tahun berpasangan dengan kakaknya di Siri Kumpulan Umur Alpha, Singapura 2018.

Davincy berkata, dia terpaksa berkorban mengeluarkan wangnya sendiri untuk melihat kedua-dua anaknya berjaya termasuk menghantar mereka beraksi di kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Setakat ini memang tiada tajaan untuk raket, pakaian mahupun kasut. Harapan untuk melihat Dyvylyn ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dulu pun tidak kesampaian.

“Malah, dia langsung tidak dipanggil untuk pemilihan, sedangkan sudah membuktikan kemampuannya dalam beberapa pertandingan peringkat umur tempatan,” kata Davincy, 49, kepada CAKAPSUKAN.

Dua anak Davincy beraksi dalam liga di Jerman dan Itali.

Menurut bapa kepada enam anak termasuk seorang lelaki itu, beliau ada berhasrat menghantar sendiri anaknya bertanding di pentas antarabangsa, untuk menaikkan ranking dunia mereka.

“Namun, pandemik Covid-19 ini merencatkan semua perancangan itu,” katanya.

Setakat ini, Dyvylyn dan Dylyvya, berada pada ranking 1,103 dunia bersama 36 pemain lain di peringkat senior manakala Dylyvya menduduki tangga ke-350 di peringkat remaja.

Pengorbanan Davincy bukan setakat itu, malah ketika ini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk lebih dua bulan, bagi bersama keluarganya di Johor Bahru.

Penularan Covid-19 ini memisahkan Davincy dan keluarganya yang tinggal di Bandar Datuk Onn, kerana beliau bekerja di Singapura sebagai penolong pengurus stesen di SBS Transit, sejak tujuh tahun lalu.

“Sebelum ini, saya memang berulang alik setiap hari. Sejak Mac tahun lepas segalanya berubah berikutan adanya sekatan perjalanan antara kedua-dua negara.

Davincy (dua dr kanan) bersama Dr Vivian Balakrisnan (Menteri Luar Negeri Singapura).

“Saya sempat pulang sebentar Oktober tahun lalu bila ada kelonggaran ke atas sekatan perjalanan, untuk menguruskan pendaftaran anak yang baru dilahirkan sebelum kembali semula ke Singapura.

“Bulan lalu saya mengambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji untuk menyambut hari raya dan akan akan pulang ke sana Julai nanti,” katanya.

Davincy mengakui ketika ini ia bukan murah untuk pulang ke Malaysia kerana perlu membayar kira-kira S$3,500 untuk kos kuarantin apabila memasuki semula Singapura.

“Ini belum kos kuarantin di Malaysia serta ujian saringan yang perlu diambil untuk masuk semula ke Singapura. Tapi takpelah…keluarga lebih penting,” katanya.

Di Singapura, kata Davincy, beliau terpaksa berkongsi bersama seorang rakan untuk tinggal di hotel bagi menjimatkan kos.

“Enam bulan pertama pada awal pandemik ini, memang majikan menyediakan tempat tinggal tetapi selepas itu kami terpaksa mencari penginapan sendiri.

“Saya harap situasi ini dapat segera berakhir supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa, selain membantu mengembangkan lagi bakat anak-anak saya,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: