Bola Sepak

Status penganjuran Piala AFC akan ditentukan dalam tempoh 14 hari

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Windsor memaklumkan AFC telah menerima surat rasmi dari Singapura berhubung keputusan penarikan diri menjadi tuan rumah.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

STATUS penganjuran kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sama ada diteruskan mahupun dibatalkan penganjurannya akan ditentukan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Ini berikutan belum ada negara yang bersedia menawarkan diri secara rasmi selepas Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi saingan Zon Asean telah mengemukakan permohonan rasmi menarik diri.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan rasmi dari mana-mana negara yang bersedia menjadi tuan rumah bagi kejohanan berkenaan.

“Memang ada desas-desus Indonesia bersedia menganjurkan kejohanan itu namun sehingga kini, AFC belum menerima permohonan rasmi berkaitan perkara berkenaan.

Kedah Darul Aman menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua dan memiliki slot automatik dalam pertandingan Piala AFC tahun ini.

“Ketika ini waktu semakin suntuk manakala penundaan tarikh penganjuran kejohanan itu turut memberi impak negatif kepada perjalanan liga di negara masing-masing sekali gus terpaksa mengambil jalan terakhir iaitu membatalkan saingan AFC terbabit.

“Boleh dikatakan kami sebenarnya buntu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kerana tiada negara yang mahu menjadi tuan rumah untuk kejohanan berkenaan.

“Oleh itu, kita melihat dalam tempoh sekurangnya dua minggu lagi jika situasi masih sama terpaksa mengambil jalan terakhir iaitu batalkan kejohanan berkenaan,” katanya.

Windsor berkata, antara kriteria diambil kira AFC sebelum membenarkan penganjuran kejohanan dibenarkan adalah merangkumi situasi Covid -19 dinegara berkenaan.

“Begitu juga aspek keselamatan dan juga sistem penerbangan yang baik termasuk dengan pesawat bagi memudahkan kedatangan pasukan bertanding kerana aksi kelayakan ini tidak boleh diadakan tanpa kemudahan ini.

“Turut diberikan perhatian adalah tempoh kuarantin dinegara berkenaan,” tegasnya.

Untuk rekod, mengikut jadual KDA FC dan Terengganu FC yang diletakkan dalam saingan Kumpulan H dan I sepatutnya beraksi di Singapura bermula 2 Julai ini namun Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menarik diri menjadi tuan rumah.

Terengganu FC mendapat slot ke Piala AFC selepas menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: