
BADAN induk bola sepak Eropah, UEFA mula menilai kejadian Cristiano Ronaldo yang mengalihkan botol Coca-Cola ketika sidang media kejohanan EURO 2020. Pihaknya meminta para pemain supaya menghormati penaja.
Ronaldo menjadi topik hangat akibat aksinya dalam sidang media pasukan kebangsaan Portugal menjelang pertandingan menentang Hungary, pada Isnin lepas.
Ketika itu, Ronaldo bersama jurulatih Fernando Santos untuk menjawab pertanyaan media.
Ada dua botol minuman penaja EURO 2020, Coca-Cola, yang diletakkan di atas meja sidang media dan Ronaldo kemudian menggantinya dengan botol air mineral.
Aksi Cristiano Ronaldo tersebut lantas ditiru beberapa pemain lainnya seperti Manuel Locatelli dari pasukan Itali. Sementara itu, Paul Pogba (Perancis) mengalihkan botol bir Heineken ke bahagian bawah meja.
Pengarah Kejohanan EURO 2020, Martin Kellen, menyebut pihaknya telah berkomunikasi dengan seluruh pemain dan meminta mereka patuh kepada perjanjian UEFA dengan penaja.
“UEFA telah bercakap dengan pasukan tentang masalah ini. Ia penting kerana pendapatan penaja sangat berpengaruh kepada kejohanan dan bola sepak Eropah,” kata Kallen, dipetik dari La Gazzetta dello Sport.
Sementara itu, bagi kes Pogba yang mengalihkan botol bir kerana faktor agama, Kellen meminta pengelola tuan rumah membawa minuman-minuman beralkohol keluar dari ruangan sidang media sebelum pemain-pemain Muslim tiba.
“Pengurus media di 11 stadium tuan rumah harus memastikan tidak akan ada sebotol alkohol di depan mereka,” ujarnya.







Add Comment