EURO 2020

Belanda iringi jejak Itali ke Pusingan 16


Image
Dumfries dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan.

BELANDA mengiringi Itali dan Belgium ke pusingan 16 terbaik apabila mudah membenam Austria 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Johan Cruyff Arena, Amsterdam.

Dua jaringan menerusi Memphis Depay dan Denzel Dumfries pada kedua-dua babak separuh masa cukup untuk memberikan skuad Oranje tiga mata dan mengungguli carta kumpulan.

Austria yang turun tanpa Marco Arnautovic yang digantung satu perlawanan jelas bergelut untuk bersaing dan terpaksa akur dengan kehebatan anak buah Frank De Boer.

Belanda membuka tirai jaringan apabila Memphis Depay tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-11 selepas Dumfries dikasari dalam kotak penalti oleh kapten Austria, David Alaba.

Jaringan penalti itu kekal menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan sehingga wisel babak pertama ditiup pendadil perlawanan dari Israel, Orel Grinfeld.

Babak kedua menyaksikan Belanda kembali mendominasi perlawanan. Akhirnya pada minit ke-67 Donyell Malen berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melorongkan bola kepada Demfries untuk gol kedua Belanda.

Ini adalah gol kedua pemain berusia 25 tahun ini dalam dua perlawanan selepas muncul wira pasukan dengan gol pada akhir perlawanan ketika menentang Ukraine tempoh hari.

Austria cuba memberikan saingan tetapi mereka gagal untuk menembusi benteng Belanda sekaligus kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat dan Belanda layak ke pusingan kalah mati.

Dengan keputusan ini kedudukan Kumpulan C menyaksikan Belanda teratas dengan enam mata diikuti Ukraine di tangga kedua dan Austria di tangga ketiga masing-masing dengan tiga mata manakala Macedonia Utara kekal terbawah tanpa sebarang mata.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: