EURO 2020

Suara emas Andrea Bocelli iringi upacara pembukaan rasmi Euro 2020

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PENYANYI legenda Itali, Andrea Bocelli menggamatkan upacara pembukaan rasmi kejohanan UEFA Euro 2020 dengan mendendangkan lagu klasik, Nessun Dorma yang berlangsung di Stadium Olimpico, Rome.

Setelah tertangguh setahun ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan keseluruhan dunia, Euro 2020 membuka tirainya dengan perlawanan pertama di antara Itali dan Turki.

Persembahan warna-warni dengan pertunjukan akrobatik menarik minat para kira-kira 20,000 penyokong yang dibenarkan ke stadium dengan menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka di zaman norma baharu.

Sebanyak 24 belon mewakili kesemua pasukan bertanding diperagakan tatkala Bocelli melantunkan suara emasnya sambil para penari menari secara terapung sebagai tanda simbolik kebebasan dari perjuangan menentang pandemik Covid-19.

Tepukan gemuruh diberikan oleh para penyokong selepas penyanyi legenda ini menamatkan nyanyian beliau sekaligus diikuti dengan percikan bunga api yang menandakan pembukaan rasmi UEFA Euro 2020.

Selepas itu, acara diteruskan dengan nyanyian lagu We Are The People secara virtual oleh Martin Garrix, Bono dan The Edge yang menggunakan teknologi canggih untuk membawa penyokong lebih dekat dengan suasana kejohanan.

UEFA Euro 2020 dilangsungkan selama sebulan dan pertama kali diadakan di 11 negara iaitu Itali, Hungary, England, Scotland, Denmark, Russia, Jerman, Belanda, Romania, Sepanyol dan Azerbaijan berbanding format karnival di satu negara tuan rumah sebelum ini.

Portugal akan turun mempertahankan kejuaraan dan pastinya akan diberikan tentangan oleh pasukan yang lain. Siapakah yang bakal bergelar juara edisi ulang tahun Kejohanan Eropah ke-60 ini?

Sama-sama kita nantikan!.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: