Bola Sepak

“De Paula banyak bantu di bahagian tengah, lambat balik ke posisi”


De Paula (dua kiri) cuba mendapatkan bola daripada pemain UAE. Foto: FAM

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR

KEKALAHAN Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih hangat diperkatakan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air.

Bukan tidak menerima hakikat bahawa pasukan UAE lebih bagus daripada pasukan negara, sebaliknya apa yang mengecewakan adalah aksi hambar skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini.

Lebih ‘panas’ nama dua pemain naturalisasi Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi menjadi topik utama.

Apa tidaknya, kedua-dua pemain-pemain ini diharap dapat memberi persembahan terbaik, namun sebaliknya berlaku.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Yusoff Mahadi mengakui barisan pengurusan juga terkejut dengan kekalahan besar 4-0 ini.

“Kami agak terkejut dan tidak jangka kita kalah dengan bilangan gol yang besar. Bahagian tengah dan serangan tidak menonjol.

“Tetapi penjaga gol dan barisan pertahanan perlu dipuji dapat bertahan sehingga minit ke-80 dengan jaringan satu gol oleh UAE.

Liridon cuba mencari peluang mendapatkan gol. Foto: FAM

“Dan selepas itulah bencana berlaku yang menyaksikan pasukan kita ‘collapes’. Pemain seperti tidak menunjukkan kesungguhan yang diharapkan walaupun kualiti barisan pemain kali ini lebih baik berbanding sebelum ini, tetapi tidak mampu beraksi sebagai sebuah pasukan dan tidak mengikut taktikal jurulatih,” jelasnya.

Dalam pada itu Yusoff menafikan perancangan menggunakan dua pemain naturalisasi itu sesuatu yang gagal.

“De Paula hanya terlepas satu peluang dan  kita kurang mencipta peluang. Tak boleh harap untuk terus jaring gol dalam percubaan pertama apabila bertemu pasukan kuat seperti UAE, kalau dapat bermakna kita bertuah.

“Dia banyak cuba membantu di tengah sehingga lupa tugas sebenar sebagai penyerang, apabila banyak bermain di tengah, lambat nak balik ke posisinya. Mungkin kepenatan kerana cuaca yang panas,” tambah Yusoff.

Pada aksi tersebut menyaksikan dua gol UAE dijaringkan pemain naturalisasi dari Brazil Fabio Lima, manakala dua lagi gol oleh ‘ayam tambatan’ mereka Ali Mabkhtout.


Add Comment

Click here to post a comment