Bola Sepak

TMJ ‘penyebab’ Dion Cools setuju sarung jersi Harimau Malaya


DENGAN berkat kesabaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM,  akhirnya pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools secara rasminya menjadi milik Harimau Malaya.

Dion Cools diumumkan sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun 2021.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui  Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memainkan peranan penting dalam proses membawa Dion Cools balik ke Malaysia.

“Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Stuart memberitahu, proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas dia menyatakan minat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

“Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan jersi Harimau Malaya kepada Dion Cools. Foto: FAM

“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA).

“Setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA,” jelasnya.

Tambah Stuart, selepas membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), dan baharulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya,” ujarnya

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading