Badminton Semasa Terkini

Terbuka Austria: Chun Meng-Su Hui mara ke suku akhir, kejutkan pilihan keenam

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 


BEREGU campuran muda negara, Beh Chun Meng-Cheng Su Hui mencuri tumpuan apabila mara ke suku akhir badminton Terbuka Austria selepas mengejutkan pilihan keenam dari Poland, hari ini.

Gandingan yang masing-masing akan genap berusia 18 tahun bulan depan, menundukkan Pawel Smilowski-Wiktoria Adamek yang menghuni ranking ke-152 dunia, 21-15, 15-21, 21-19 dalam pertarungan hampir sejam.

Saingan khususnya di set ketiga begitu sengit dengan mata sering rapat, sebelum lawan mendahului 15-12, 18-17. Namun pasangan negara bangkit menyamakan kedudukan 18-18, 19-19 sebelum mengutip dua mata terakhir.

Di suku akhir, mereka akan berdepan pasangan Denmark, Mads Vestergaard-Natasja Anthonisen yang mara selepas menundukkan wakil Slovenia, Miha Ivancic-Petra Polanc 21-11, 21-16.

Turut mara ke suku akhir adalah juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia minggu lalu, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei yang mengetepikan satu lagi pasangan negara, Haikal Nazri-Low Yeen Yuan 21-17, 21-19.

Hon Jian-Ee Wei kini akan berdepan Miha Ivanic-Nika Arih untuk mencari tiket ke separuh akhir. Pasangan Slovenia itu mara ke suku akhir selepas mengetepikan pilihan kedua dari Jerman, Patrick Scheil-Franziska Volkmann 21-19, 21-19.

Sementara itu, cabaran negara dalam perseorangan lelaki berakhir selepas Justin Hoh tewas di tangan pemain Indonesia, Panji Ahmad Maulana.

Justin, 17, bermula dengan meyakinkan apabila menang set pertama 21-17 sebelum menyerah dua set berikutnya 23-25, 15-21 dalam masa 54 minit.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: