Semasa Sepak Takraw Terkini

Tok Mat masih Presiden PSM

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ibrahim Mohd Yusof

Oleh : Subkhi Sudarji / Izari Rosli (Foto)

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih merupakan badan induk sukan sepak takraw yang sah berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Pesuruhjaya Sukan Malaysia,  Ibrahim Mohd Yusof berkata, begitu juga dengan 17 buah badan gabungan PSM yang terdiri daripada persatuan sepak takraw negeri-megeri dari seluruh negara yang masih aktif dan giat menggerakkan sukan sepak takraw di Malaysia.

“PJS mengambil maklum akan keputusan Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan Astaf dan menghormati keputusan yang telah diambil.

“Meskipun penyingkiran ini berkuatkuasa serta merta, difahamkan PSM diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Astaf.

“Dalam tempoh tersebut iaitu ketika ini Datuk Seri Ahmad Ismail (Tok Mat) masih sah lagi selaku Presiden PSM begitu juga PSM,” jelasnya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Ibrahim berkata, PJS berharap PSM akan mengambul ruang yang disediakan Astaf untuk mengemukakan rayuan dan mengambil langkah-langkah susulan serta tindakan yang selaras dengan perlembagaan Astaf dan PSM.

“PJS juga berpandangan bahawa Majlis Tertinggi PSM dan ahli-ahli gabungan PSM boleh berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan menentukan hala tuju PSM atas kepentingan pembangunan sukan sepak takraw negara.

“Selaku badan kawal selia pembangunan sukan negara ini, PJS akan terus memantau rapat dan memberi perhatian serius dalam perkara ini.

“PJS akan mengadakan perbincangan bersama PSM dan ahli gaubungan bagi mendapatkan perkembangan semasa dalam masa terdekat dan memberi panduan serta nasihat atas kepentingan pembangunan sepak takraw di Malaysia. Kami berharap satu penyelesaian yang tuntas dapat dicapai,” ujarnya.

Untuk rekod, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAFDP), Yogender Singh Dahiya dalam satu kenyataan memaklumkan PSM disingkirkan sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkuatkuasa serta-merta.

Dalam sesi pendengaran itu, dijalankan secara maya yang membabitkan wakil dari India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan dan Thailand,  PSM didapati bersalah susulan tindakan presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

ASTAFDP melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Bagaimanapun, PSM diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan pada 20 Mei lalu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: