Antarabangsa Komuniti Lain-Lain Terkini

Atlet, jurulatih lancar Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan


BARISAN atlet dan jurulatih sukan negara melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian sebagai satu inisiatif kemanusiaan membantu rakyat Palestin yang sedang memerlukan.

Lebih 300 orang atlet dan jurulatih yang terlibat melahirkan keprihatinan mereka terhadap isu semasa yang sedang berlaku di Palestin dan berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ketika mereka dalam keadaan sukar ini serta mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Palestin.

Antara atlet yang memberi sokongan adalah Luqman Al Hafiz Zulfa (Gimnastik), Kirtana Ramasamy (Olahraga), Tan Cheong Ming (Wushu), Chew Wei Lun (Boccia), Sarah Yap Khim Wen (Taekwondo), Mohd Fauzi Khalid (Silat), Cheah Like Hou (Para Badminton), Farah Ann Abd Hadi (Gimnastik), Mohd Fadhil Zonis (Berbasikal), Wendy Ng Yan Yee (Terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (Para Olahraga), Azizulhasni Awang (Berbasikal) dan Datuk Nicol David (bekas atlet skuasy).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan barisan atlet dan jurulatih yang mencetuskan ilham penubuhan Tabung ini.

“Isu kemanusiaan adalah isu kita bersama merentas batas agama, bangsa dan kepercayaan dan seharusnya ia tidak harus dilihat dari kaca mata yang sempit,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut memaklumkan bahawa Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini adalah satu usaha bersama dan sumbangan kecil warga sukan negara kepada kemanusiaan.

“Sukan adalah suara universal dan kita turut terkesan dengan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Semoga sumbangan kecil ini, sedikit sebanyak dapat melengkapi keperluan mereka di sana.”

Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan boleh menerima sumbangan sama ada daripada individu mahupun organisasi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading