Basikal Terkini

“Kehilangan abah tinggalkan ‘ruang’ kosong dalam diri”, Fadhil kini ranking No.1 dunia Ujian Masa Lelaki Elit

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh: SURYATI MOHD NOR

MUHAMMAD Fadhil Mohd Zonis menguasai ranking No.1 Dunia dalam acara Ujian Masa Lelaki Elit.

Fadhil yang kini dalam tempoh kuarantin selepas pulang dari Hong Kong mengakui bersyukur selepas disenaraikan dalam ranking pertama dunia acara tersebut.

“Ia merupakan pencapaian tertinggi saya setakat ini dan sudah tentu saya dedikasinya kepada arwah abah (Mohd Zonis).

“Setiap kejayaan yang saya capai hari ini tidak akan terjadi tanpa sokongan abah, mak dan keluarga.

“Ketika bersama pasukan Selangor, arwah abah melatih saya dan pelumba-pelumba lain, malah selepas bersama pasukan negara pun abah terus memberi tunjuk ajar.

“Biarpun hampir dua tahun abah telah meninggalkan kami, tetapi semangat yang dia pesan kepada saya sentiasa disemat di setiap kayuhan saya,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Mengimbas kembali saat-saat akhir bersama arwah abahnya, pelumba berusia 24 tahun ini  mendedahkan bahawa pada saat akhir hujung nyawa abah masih fikirkan mengenai pertandingannya.

“Ketika itu abah pesan dekat saya, andai kata dia pergi dulu sebelum saya berangkat satu kejohanan (Kelayakan Olimpik), dia suruh saya teruskan.

“Walaupun ketika itu abah sedang nazak (akibat komplikasi buah pinggang) dia masih fikirkan mengenai saya dan basikal. Selepas dua hari meninggal dunia, saya menyertai kejohanan dalam ‘jiwa’ yang masih kosong.

“Bagaimana pun saya berusaha bangkit kerana fikirkan mak (Zanariah Basir,49) yang sentiasa mendoakan kejayaan dan ada dengan saya selepas abah meninggal dunia.

“Kejayaan hari ini dianggap permulaan saya untuk terus mencipta rekod yang lebih baik,” jelas anak ketiga daripada empat adik beradik ini.

Dalam pada itu, pelumba Yayasan Sime Darby ini mengumpul 1,762.50 mata selepas menambah 720 mata apabila meraih pingat perak acara 1km Ujian Masa pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong minggu lepas.

Malah Fadhil turut merangkul emas dalam acara keirin di Hong Kong minggu lalu.

“Saya akan kembali menjalani latihan bagi persiapan Kejuaraan Dunia di Turkmenistan September ini.

“Saya tidak boleh lalai dengan kejayaan hari ini dan akan terus fokus.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan kejayaan saya,” akhirinya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: