LEICESTER City menjulang trofi juara Piala FA buat julung kalinya pada aksi final di Stadium Wembley.
The Foxes berjaya menewaskan juara lapan kali, Chelsea dengan jaringan tunggal menerusi Youri Tielemans pada minit ke-63.
Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan gagal mencari sebarang gol pada babak pertama biarpun The Blues dilihat lebih menguasai perlawanan.
Namun pemain kebangsaan Belgium yang berusia 24 tahun itu bijak menggunakan peluang di depan gol melepaskan sepakan kencang ke arah gawang yang gagal ditepis Kepa Arrizabalaga.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015-16 ini merekodkan sejarah Piala FA buat kelab kendalian Brendan Rodgers selepas empat kali mara ke final (1949, 1961,1963 dan 1969).
Malah kemenangan ini merupakan trofi pertama Leicester City selepas insiden ngeri helikopter terhempas di luar Stadium King Power melibatkan pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha selepas menyaksikan perlawanan Leicester City bertemu West Ham pada 27 Oktober 2018. Presiden kelab Aiyawatt Srivaddhanaprabha yang juga anak mendiang turut hadir menyaksikan sejarah kejayaan pasukannya itu.
Sementara itu, impian Thomas Tuchel untuk merangkul tropi pertamanya bersama Chelsea masih belum berhasil.
Kali terakhir Chelsea merangkul gelaran juara Piala FA pada tahun 2018.
Add Comment