Bola Sepak Semasa Terkini

Malaysia ‘juara’ tunggakan gaji pemain di Asia, ke-4 dunia!

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

FAM berterima kasih kepada Fifa dan FifPro kerana menerusi wang dana diberikan ini telah membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji .

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah meluluskan dana bertujuan untuk memberi perlindungan kewangan kepada pemain bola sepak yang tidak dibayar gaji.

Tabung ini hasil dari kerjasama Fifa dan Persekutuan Antarabangsa Pemain bolasepak profesional dunia (FifPRO).

Ia dinamakan Fifa Fund For Football Players (Fifa FFP) dan diberi peruntukan keseluruhan sebanyak USD16 Juta.

Objektif utama tabung ini adalah untuk memberi perlindungan kewangan kepada pemain-pemain yang telah dianiaya oleh majikan masing-masing dengan tidak membayar gaji.

Untuk rekod ada 1089 permohonan diterima oleh Fifa untuk menyelesaikan masalah dari tempoh 2015 hingga 2020.

Tabung ini dibahagikan kepada empat peringkat bayaran mengikut tempoh gaji yang tertunggak iaitu USD16 juta (RM66 juta) untuk empat fasa sehingga penghujung 2022.

Pada 12 Mei lalu Fifa mendedahkan 1089 permohonan yang diterima, hanya 1005 kes sahaja diluluskan. Jumlah permohonan ini datangnya dari 109 buah kelab meliputi 36 negara.

Manakala 70 peratus kelulusan untuk Eropah dan 19 peratus untuk Asia.

Malaysia berjaya menerima sumbangan kewangan melibatkan 147 kes pemain.

Jumlah pemain yang ‘teraniaya’ ini merupakan kedua tertinggi selepas Greece.

Daripada jumlah USD5 juta yang diperuntukan, USD3.65 juta diberikan kepada benua Eropah(UEFA). Angka ini cukup besar berbanding wang kepada Asia (AFC) USD675,000 dan Amerika Selatan (CONMEBOL) USD565,000.

Wakil Amerika Tengah, Utara dan kepulauan Caribbean (Concacaf) pula terima USD110,000.

Dari segi jumlah bayaran, Malaysia menerima USD456,214 (RM1.9 Juta) bagi 147 laporan kes pemain diluluskan.

Dan jangan terkejut bayaran ini adalah paling tinggi di Asia manakala ke-4 di dunia.

Perlu diingatkan tabung fasa pertama untuk gaji yang tertunggak dari 2015 hingga Jun 2020.

Tempoh ini sebelum dunia dilanda wabak Covid-19 lagi dan Malaysia sudah berada di tangga kedua dunia.

Bayangkan berapa banyak permohonan akan dihantar oleh Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) untuk tabung fasa kedua nanti memandangkan ada lagi isu-isu melibatkan tunggakan bayaran gaji pemain yang masih belum selesai.

Merujuk kepada siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Oktober 2020, jumlah kes tunggakan bayaran gaji pemain dan pegawai buat tahun 2019 dan 2020 adalah sebanyak 65 kes berjumlah RM8,694,100.32.

Namun begitu tunggakan ini telah berjaya dikurangkan kepada RM564,939.73.

Mengambil situasi semasa bola sepak negara, isu gaji ini tidak pernah hilang malah dilihat setiap setahun ada sahaja pemain-pemain terpaksa menanggung masalah ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata permohonan dibuat menerusi PFAM dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh Fifa.

“FAM turut memberikan pengesahakn status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi. FAM berterima kasih kepada Fifa dan FifPro kerana menerusi wang dana diberikan ini ia telah membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal dilaksanakan pasukan-pasukan yang ditutup.

“Begitu juga PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, FAM menyeru pihak bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan.

“Dana tersebut bukanlah bermaksud kes tunggakan gaki melibatkan pemain tersebut selesai kerana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih ada baki tunggakan perlu diselesaikan.

“PFAM kini sedang mengemaskini fakta kelulusan daripada Fifa dan FifPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.”

Fifa akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun pemain yang terlibat dalam kadar segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain-pemain.

Mereka bakal menerima bantuan diantara USD1,227.67 (kira-kira RM5,000) sehingga USD9227.67 (kira-kira RM38,000) seorang.

Hakikatnya, dalam senarai Top 10 yang dikeluarkan oleh Fifa Malaysia satu-satu negara Asia dalam kelompok itu yang sekaligus memberi seribu satu persoalan mengenai masalah tunggakan gaji pemain-pemain di negara ini.

Dan realitinya juga mujur PFAM menjadi tulang belakang pemain-pemain teraniaya, namun apakah jalan terbaik yang perlu diambil oleh pihak pengurusan bola sepak negara bagi memastikan isu ini dapat diatasi.

Sampai bila perlu mengharapkan dana Fifa untuk menyelesaikan masalah ini?

Perlu diingat, pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia sudah pun bergelar status kelab profesional, namun bilakah pula pengurusan boleh berubah menjadi lebih bijak dan realistik dalam menguruskan soal kewangan?

Siapa yang perlu dipersalahkan?

Ironinya, tidak pula kelihatan negara-negara Asia lain yang berada dalam senarai Top 10 FiFPro ini. Apa rahsia ‘pengurusan kewangan’ mereka?


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: