
LEGENDA Manchester United, Gary Neville, membuat jangkaan peribadi bahawa sekurang-kurangnya tiga pemain kelab itu akan meninggalkan Old Trafford.
Man United sudah mula menyusun skuad yang dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer ketika saingan sesi 2020/2021 hampir berakhir. The Red Devils baru-baru ini berjaya mengekalkan Edinson Cavani untuk kekal beraksi musim depan.
Juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu dikatakan ingin mencari pemain pertahanan baru untuk bergandingan dengan Harry Maguire. Malahan, ada pendapat mengatakan mereka berkemungkinan sedang memburu duo Borussia Dortmund, Erling Haaland dan Jadon Sancho.
Jelas Neville, pemain berstatus ejen bebas, Juan Mata disebut-sebut bakal berhijrah.
“Saya fikir Juan Mata telah melakukannya dengan sangat baik untuk kelab tetapi saya rasa dia akan pergi,” kata Neville di Sky Sports dalam program ‘Monday Night Football‘.
Daniel James juga diramal akan keluar walaupun masih ada kontrak sehingga Jun 2024. Pemain sayap berusia 23 tahun itu masih belum menjadi pilihan utama dalam pasukan kerana kerap dihantui kecederaan.
“Saya rasa United dapat mendapatkan banyak wang untuk Daniel James, tapi sekali lagi, dia boleh pergi ke tempat lain dan mereka akan mendapatkan wang yang bagus untuknya,” katanya lagi.
Jesse Lingard juga masuk senarai Neville. Pemain yang sedang dipinjamkan ke West Ham United itu dalam prestasi terbaik namun Solskjaer kelihatan tidak begitu berminat dengannya.
“Jesse Lingard, dia melakukannya dengan sangat baik di West Ham, tapi saya rasalah Ole akan mengatakan tidak, jadi dia akan pergi ke tempat lain,” tegasnya.
Add Comment