
PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino memberitahu mereka sebenarnya bermain mengikut perancangan taktikal pada babak pertama.
Namun, Pochettino mengakui Manchester City lebih tajam dalam memanfaatkan peluang.
“Kami main seperti yang sudah dirancang. Kami bermula dengan sangat baik, mencipta peluang, dan mendominasi Manchester City. Itu tidak mudah. Tidak banyak pasukan dapat mendominasi seperti Manchester City.
“Kadang-kadang dalam bola sepak, anda perlukan tuah dalam beberapa tempoh. Pada akhirnya, mereka lebih tajam. Mereka menghasilkan gol dari situasi di mana kami menekan, dengan hantaran bola jauh,” ujar Pochettino selepas pertandingan seperti dipetik laman rasmi UEFA.
Bagi Manchester City, kejayaan ini mengakhiri penantian mereka untuk menembusi pentas akhir Liga Juara-Juara.
Selepas kerap terkandas di suku akhir sejak dibimbing Pep Guardiola pada 2016, The Citizens akhirnya mara ke final pertandingan tertinggi antara kelab Eropah.
“Saya harus mengucapkan tahniah kepada Manchester City kerana mereka menjalani musim yang fantastik. Setelah enam atau tujuh musim, Pep bekerja dengan baik. Kami juga bangga dengan para pemain dan pasukan kami,” kata Pochettino.





Add Comment