
LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan khususnya kepada peminat setia The Reds.
Carragher menyarankan supaya trio penyerang iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino perlu “dibubarkan” pada musim panas ini.
Dengan jendela perpindahan pemain yang akan dibuka kira-kira dua bulan lagi, sudah timbul spekulasi berkaitan masa depan ketiga-tiga penyerang tajam di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Walaupun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak memberikan sebarang petunjuk akan melepaskan trio itu, tetapi Carragher yakin masanya telah tiba untuk “sesuatu lain” yang perlu dicuba pada bahagian serangan pasukan setelah prestasi The Reds yang menurun drastik pada musim 2020/21 ini.

“Peminat memperkatakan tentang bahagian depan yang tidak berada dalam prestasi yang bagus, tapi sekarang sudah terlalu lama untuk itu (digunakan sebagai hujah).
“Mereka terus bercakap masalah Liverpool di pertahanan tengah, namun masalah terbesar mereka adalah pada bahagian lain dalam padang.
“Kami tahu Virgil van Dijk dan Joe Gomez akan kembali pada musim depan. Tiga penyerang Liverpool yang terkenal masih ada.
“Mereka mendapatkan bonus tambahan dari Diogo Jota, yang menyumbang beberapa gol, tapi saya mengatakan perkara ini enam bulan lalu pada Monday Night Football–tiga penyerang perlu bubar kerana tidak ada tiga penyerang yang akan bersama-sama selama ini,” ujar Carragher kepada Sky Sports.
Pada musim ini, Salah menghasilkan 29 gol untuk semua pertandingan dan masih berada di landasan merebut kasut emas buat kali ketiga.
Sementara itu, Mane hanya menjaringkan 13 gol, dengan lapan untuk EPL manakala Firmino baru meledak enam gol.





Add Comment