Bola Sepak Semasa Terkini

Penang FC tampak sempurna buat Rowley


Rowley berjaya memberikan impak dibahagian tengah membantu pasukan.

SELEPAS prestasi yang serba tidak menjadi di Kedah pada musim lalu,  David Rowley mengakui gembira Penang FC membuka semula ruang dalam kariernya.

Biarpun dilanda sedikit keretakan di bahagian tulang tangan kanannya semasa aksi bertemu UiTM FC, pemain berusia 31 tahun yang berasal dari Australia itu lega kerana tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.

“Di Kedah, saya tetap gembira selain telah memenangi satu trofi semasa di sana cuma kehadiran di Penang FC, segala-galanya tampak sempurna malah saya diturunkan dalam semua perlawanan setakat ini.

“ Peranan saya lebih membantu di bahagian tengah untuk membantu bahagian pertahanan atau serangan berbeza ketika di Kedah, saya banyak diletakkan peranan selaku pemain nombor enam.

“ Walaupun dua perlawanan terakhir (PJ City, Sri Pahang FC) saya diturunkan selaku pemain gantian kerana faktor kecederaan, saya tetap gembira masih diberi ruang.

“ Memang sedikit terjejas kerana saya tidak boleh terlalu fizikal semasa bersaing dengan pemain lawan dalam banyak situasi tetapi mujur jurulatih masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk turun bermain, “ katanya.

Dalam perlawanan terakhir, Penang mudah membenam cabaran Sri Pahang FC pada Sabtu dengan kemenangan 3-0 di Stadium Bandaraya menerusi jaringan Endrick dos Santos, Danial Ashraf Abdullah dan Jafri Firdaus Chew.

Antara kejutan yang dilakar Penang musim ini ialah menundukkan Selangor 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan 2-1 mengatasi Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.

Ujian seterusnya buat Pulau Pinang selepas ini adalah bertemu Terengganu FC, yang masih segar dengan kejayaan menjadi pasukan pertama menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim,1-0 pada 24 April lalu.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: