Oleh : Subkhi Sudarji
“KETIKA masuk rasa was-was tetapi keluar bertambah yakin”, itu perasaan dialami Ketua Pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.
“Hari ini, kita datang ke sini dan tengok cara vaksin. Mereka(pegawai perubatan) beri penerangan kepada kita seterusnya tiada masalah untuk fikir sama ada bagus atau tidak vaksin ini.
“Setakat ini, tiada apa-apa simptom dan perlu tunggu 48 jam lagi untuk tahu. Bila cucuk tadi pun tak sakit sangat malah biasa-biasa saja,” katanya ketika ditemui media selepas menerima vaksin pertama di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 KKM, Presint Diplomatik, di sini, hari ini.
Aidil merupakan pemain kebangsaan yang pertama menerima suntikan berkenaan dan mereka tiba di Dewan Seri Seroja Persiaran Diplomatik Putrajaya untuk menerima suntikan vaksin Covid -19 sejak 9 pagi tadi.
Tonggak pertahanan itu berkata, dia dan beberapa rakan sepasukan pada awalnya agak curiga terhadap vaksin selepas mendengar berita tentang 40 petugas kesihatan dijangkiti wabak itu walaupun sudah lengkap menerima dua dos suntikan tersebut.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya akan menghadapi dua siri perlawanan persahabatan sebelum berentap di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Add Comment