BERITA gembira buat skuad Harimau Malaya apabila akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum berlepas menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan menerima suntikan vaksin pada 19 April nanti.
“Seramai 78 individu merangkumi pegawai, pemain dan barisan kejurulatihan akan diberikan suntikan vaksin pada tarikh lebih awal iaitu 19 April (jangkaan sebelum ini penghujung April) bertempat di Dewan Sri Seroja, Percint 15, Putrajaya.
“Mereka boleh selesaikan sebelum berangkat ke Dubai,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Detik 100 Hari ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.
Harimau Malaya kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu, Vietnam sementara Thailand di kedudukan ketiga selepas mengumpul lapan mata.
Sebelum ke UAE, anak buah Cheng Hoe yang akan memasuki kem latihan pada 16 Mei akan menghadapi dua aksi persahabatan di Bahrain.
Add Comment