Antarabangsa Badminton Komentar Semasa

BAM perlu kawal majlis untuk Zii Jia


Lee Zii Jia

 

Oleh :  Mohd Fariq

EMPAT hari selepas Lee Zii Jia menjuarai acara perseorangan All England, keghairahan kemenangannya masih belum reda.

Malah, jika bukan kerana terpaksa melalui kuarantin wajib sekurang-kurangnya tujuh hari sebaik tiba di tanah air Selasa lepas, pasti banyak deretan jemputan daripada kalangan VIP.

Ya, semua orang sukakan juara. Apa lagi kejohanan All England – pertandingan badminton tertua dunia ini – sememangnya impian semua  pemain selain tentunya Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Namun, perlu diingat perjuangan sebenar belum selesai. Laluan untuk Zii Jia yang genap berusia 23 tahun Isnin ini, masih panjang dan pastinya tetap akan berliku.

Seperti kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ia adalah maraton, bukannya pecutan. Harap kata-katanya menjadi pencetus semangat untuk pemain muda asal Alor Setar ini.

Pada masa sama, BAM perlu bijak mengawal keadaan dengan menghadkan sebarang jemputan untuk Zii Jia mahupun untuk juara beregu wanita Terbuka Switzerland, Pearly Tan-M Thinaah.

Memang sudah kedengaran banyak pihak berlumba-lumba mahu menjemput Zii Jia bagi meraikannya. Ya,siapa yang tidak mahu bergeser bahu dengan bintang baru badminton negara.

Tapi, perlukah semua ini? Di mana mereka Januari lalu, ketika Zii Jia dan ketua jurulatih perseorangan negara, Hendrawan dikecam bertalu-talu atas kegagalan di dua Terbuka Thailand dan pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok.

DIMANA MEREKA KETIKA ZII JIA MEMERLUKAN

Adakah Zii Jia dibantu ketika berdepan krisis keyakinan? Tahukah kita bahawa Zii Jia dan Hendrawan mendapat surat amaran dari BAM atas prestasi hambar di Bangkok?

Detik kesukaran Zii Jia terpaksa ditanggungnya sendiri. Namun, bila Zii Jia pulang dengan gelaran, semua mahu ’tumpang sekaki’.

Hendrawan

 

Air mata Hendrawan ketika diwawancara oleh satu stesen televisyen beberapa hari lalu, sudah cukup menceritakan betapa besarnya bebanan ditanggung dirinya dan pemain itu ketika saat sukar.

Januari lalu, ramai yang mempersoalkan kemampuan Zii Jia tapi sekarang lain cerita. Malah ada yang berangankan pingat emas Olimpik daripada pemain tinggi lampai ini. Betapa cepatnya manusia berubah.

Ketika ini, cukuplah jika BAM setakat menghadkan tiga jemputan utama andai diterima.Tiga yang ini pasti sulit ditolak iaitu daripada Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan.

Jemputan lain bolehlah ditolak tepi. Fokus utama bukan sambutan  tetapi membuat persediaan menghadapi kejohanan-kejohanan lain.

CABARAN KEJOHANAN LAIN 

Selain Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini, tentunya ramai ternanti-nanti untuk melihat sentuhan Zii Jia di Terbuka Malaysia dari 25-30 Mei.

Ini bererti Zii Jia hanya mempunyai kira-kira tujuh minggu mempersiapkan diri untuk Terbuka Malaysia diikuti Terbuka Singapura dari 1-6 Jun.

Mulai dari detik itu, persiapan akan terarah kepada Sukan Olimpik yang dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Persiapan rapi dan betul perlu dilakukan agar Zii Jia boleh mencapai kemuncak atau ’peak’ bagi temasya sukan terbesar dunia itu.

Jadi, janganlah diganggu Zii Jia dengan majlis-majlis yang hanya menjejaskan persiapannya. Letaklah keutamaan sebenar pada landasannya.

ELAK SEJARAH LAMPAU  

Sejarah sudah membuktikan betapa majlis-majlis keraiaan ini ’merosakkan’ juara All England 2003, Hafiz Hashim , ketika itu dinaungi kelab Nusa Mahsuri.Fokusnya tergelincir atas sambutan yang berlebihan.

Inilah yang perlu dikawal BAM. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.

Bagi Zii Jia pula, jangan leka dengan sanjungan ketika ini tapi jadikan iktibar peristiwa Januari lalu betapa keseorangannya anda ketika ’jatuh’.

Percayalah, situasi ini boleh berulang lagi.  Itulah hakikat perit yang perlu diterima – anda disanjung bila di atas, bila kalah, anda dibuang bak kertas.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: