Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Zii Jia mahu jadi antara pemain terbaik dunia


Zii Jia

LEE Zii Jia menjelaskan semua pengalaman yang ditimbanya sewaktu bertanding selama ini cukup penting untuk menjadikannya antara pemain terbaik dunia satu hari nanti.

Malah, pemain tinggi lampai ini mengakui semua proses itu menjadikanya lebih matang dan berharap dapat terus memperbaiki permainannya.

“Sudah tentu, saya mahu jadi yang terbaik dan saya sedang berusaha ke arah itu,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan dalam lamam Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pemain berasal dari Alor Setar, Kedah ini, semakin menghampiri usahanya meletakkan namanya sebaris dengan bintang-bintang lain apabila mara ke final All England malam ini waktu Malaysia.

All England iaitu pertandingan tertua badminton dunia sentiasa menjadi tarikan pemain utama dunia walaupun sudah ada kejohanan utama lain seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

“Semua pemain badminton memang mengimpikan peluang beraksi di final All England kerana ia dianggap detik penting dalam karier mereka, dan saya juga tidak berkecuali,” katanya.

Viktor Axelsen

 

Mengulas final malam ini menentang bekas pemain nombor dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, Zii Jia berkata dia akan melakukan yang terbaik selepas mara sejauh itu.

“Final tetap akan sukar tak kiralah siapa lawan saya sama ada Anders Antonsen atau Viktor Axelsen kerana mereka adalah pencabar yang hebat.

“Saya harap dapat rehat secukupnya sebelum bertarung di final nanti. Buat masa ini, saya mahu menikmati kejayaan mara ke final sambil mendapatkan rehat yang cukup,” katanya.

Zii Jia layak ke final selepas menewaskan pemain Belanda, Mark Caljouw 21-13, 21-17.

“Saya hilang fokus dalam set kedua dan nasib baik dapat bangkit semula dan menang… ia adalah pertarungan yang sukar.

“Apa yang penting keyakinan saya datang semula,” katanya.

Zii Jia hanya menang sekali daripada empat pertemuan dengan Axelsen dengan perlawanan terakhir mereka di pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok, Januari lalu di mana pemain negara tewas 15-21, 4-21.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: