Bola Sepak Terkini

NSFC, SFCII mula pamer bisa


Kesebelasan utama NSFC

Oleh : Mohd Fahmi Ismail

KEHANGATAN saingan Liga Premier 2021 tidak kurang hebatnya apabila jurang mata antara pasukan bertanding tidak jauh selepas bermain empat atau lima perlawanan.

Negeri Sembilan FC (NSFC) menerajui carta liga selepas meraih 10 mata dalam empat perlawanan dan ini petanda positif untuk skuad kendalian K Devan mencari tonik terbaik mengharungi kempen yang dijangka lebih mencabar dan getir.

Barisan pemain SUFC meraikan kejayaan menewaskan Kuching City FC.

 

Sarawak United FC dan Selangor FC 2 mengekori rapat pendahulu semasa apabila masing-masing mengutip sembilan mata. Kelab dari Bumi kenyalang itu dilihat konsisten kerana memenangi kesemua tiga perlawanan awal.

Begitu juga Selangor FC 2 yang diperkuatkan penjaring terbanyak terkini, George Attram dengan ledakan lima gol ke jaring pasukan lawan.

Keupayaan dua pasukan dari Kota Bharu juga usah dilupakan kerana menunjukkan peningkatan apabila terikat tujuh mata.

Baik Kelantan FC mahupun Kelantan United FC, peluang membuktikan siapa Raja Bola Sepak Kelantan sebenar hanya akan dinilai selepas tamat pusingan pertama liga bergantung kepada konsistentasi dan taktikal kedua-dua pengendali.

Kelompok pertengahan liga diisi oleh Terengganu FC 2 yang berada di tangga keenam diikuti Johor Darul Ta’zim 2 (7) dan PDRM FC (8).

Prestasi Perak FC II  musim ini agak buruk apabila sekadar memungut tiga mata dan membangkitkan perasaan kurang para penyokong setia The Bos Gaurus.

Tekanan turut mula dirasai Kuching City FC serta Skuad Projek FAM-MSN. Cumanya, satu mata berjaya dimiliki Kuching berbanding skuad pimpinan Yusri Che Lah masih gagal memecahkan ‘telur’.

Malahan, pertahanan mereka mencatatkan rekod paling teruk dalam liga setakat ini apabila dirobek 13 gol dan kehilangan 12 mata berturut-turut.

Barisan pemain Selangor FC II meraikan jaringan pada aksi menentang KUFC, petang semalam.

Malam ini, berlangsung dua perlawanan membabitkan pertemuan PDRM menentang Kuching dan JDT 2 bertemu Perak FC II.

Bagaimanapun, tempoh masa rehat yang ada kira-kira dua minggu harus dimanfaatkan semua pasukan bertanding bagi mengenalpasti masalah dan memperbetulkan kembali apa yang tak ’kena’ dalam pasukan.

Penulis faham, ada pasukan yang belum lagi mendapat rentak sebenar berikutan kesan pandemik Covid-19 yang membuatkan para pemain dan jurulatih tidak mendapat masa secukupnya menyiapkan skuad terbaik termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dan penilai kecergasan sebelum aksi kompetitif.

Buat pasukan bertanding, teruskan semangat membara anda dan ini medan menunjukkan bakat bagi memikat pengendali pasukan Harimau Malaya untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa siri akan datang.

Saingan Liga Malaysia akan berhenti bagi memberi laluan persiapan pasukan Harimau Malaya menjalani latihan kem pusat di Johor Bharu bermula 22 hingga 30 Mac ini.

Sesi pusat latihan itu adalah sebagai persiapan menghadapi baki perlawanan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung 31 Mei hingga 15 Jun 2021.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: