
PENGALAMAN berharga yang ditimba di Terbuka Switzerland dan All England, wajar mematangkan gandingan Pearly Tan-M Thinaah untuk tampil lebih mantap di masa akan datang.
Jurulatih beregu wanita, Chan Chong Ming berkata banyak yang dipelajari mereka hasil dua penampilan di Eropah itu yang menyaksikan Pearly-Thinaah mencatatkan keputusan membanggakan.
Pasangan itu muncul juara di Terbuka Switzerland yang berstatus Super 300 pada 7 Mac lepas sebelum laluan mereka tersekat di suku akhir kejohanan Super 1,000 All England malam tadi waktu Malaysia.
“Ini adalah titik permulaan. Apa yang penting adalah untuk kami sama-sama berusaha mengatasi kekurangan yang ada.
“Mereka perlu bekerja keras untuk minggu-minggu mendatang sebelum menghadapi kejohanan seterusnya,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Antara kejohanan yang menanti adalah Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dikuti Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).
Mengulas pertemuan suku akhir malam tadi, Chong Ming berkata pasangan negara sudah melakukan yang terbaik untuk memberi cabaran kepada pilihan kelima, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun.
“Lawan tampil dengan kawalan gelanggang yang ketat sehingga Pearly-Thinaah sukar mencari ruang bagi mengutip mata.
“Mereka sudah mencuba yang terbaik tapi pengalaman lawan menjadi kelebihan,” katanya.
Pasangan negara yang menduduki ranking ke-22 dunia, tunduk 12-21, 22-20, 16-21 dalam pertarungan sejam itu kepada beregu yang berada 10 tangga di atas mereka.
Ini adalah pertemuan kedua mereka dengan Nami-Chiharu selepas tunduk juga dengan tiga set di Kejohanan Berpasukan Asia tahun lalu.





Add Comment