Lain-Lain Semasa Terkini

Lapan pasukan berentap


Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga dari kanan) selepas merasmikan NSL 2021

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

SEBANYAK lapan pasukan akan berentap pada penganjuran sulung Netball Super League 2021 (NSL 2021) yang akan berlangsung bermula hari ini hingga 11 April.

Edisi pertama kali ini membabitkan Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip.

Penganjuran selama empat minggu ini akan menggunakan format dua kumpulan dengan Perak Phoenix, Melaka Mystic, KL Wildcats dan Kedah Sunshine diletakkan dalam Kumpulan A manakala selebihnya Kumpulan B.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerjasama antara Astro dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) ini memberi nafas baru kepada sukan berkenaan.

“Dengan adanya liga kompetitif dan berkualiti seperti ini, saya percaya pembabitan golongan wanita dalam arena sukan akan bertambah meriah dan kehadiran mereka mampu menyumbang kemasyuran nama Malaysia di mata dunia.

“Saya berharap NSL 2021 menjadi titik tolak untuk sukan ini dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pemain serta dapat membantu mengesan bakat muda untuk diketengahkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PBJM, Alwiyah Talib berkata NSL menjadi platform terbaik untuk golongan wanita menonjolkan bakal dan beri kesamarataan peluang dalam arena sukan.

“Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai liga kita sendiri jika ingin melihat sukan ini berkembang dan pergi lebih jauh,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: