Antarabangsa Badminton Semasa Terkini

Pearly-Thinaah kejutkan pilihan keempat


Pearly Tan-M Thinaah

 

PASANGAN Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kecemerlangan apabila mengejutkan pilihan keempat, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand untuk menempah tiket ke pusingan kedua kejohanan All England, awal pagi ini.

Pearly-Thinaah yang menjuarai Terbuka Switzerland 10 hari lalu, menang 21-17, 23-21 bagi memulakan langkah kanan dalam penampilan sulung di All England yang bermula semalam.

Mereka kini akan bertemu pasangan tuan rumah, Jessica Hopton-Jenny Moore yang mara selepas mendapat kemenangan percuma daripada beregu negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling yang menarik diri berikutan kecederaan buku lali Yap Ling.

“Ia adalah kemenangan yang baik hari ini. Mereka berjaya menahan serangan lawan sejak awal permainan.

“Pearly-Thinaah turut berjaya mengutip banyak mata menerusi serangan balas,” kata jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming kepada CAKAPSUKAN.

Menurut Chong Ming, ia adalah pengalaman yang baik untuk pasangan itu kerana bukan sahaja menentang lawan dengan ranking lebih tinggi tetapi juga terpaksa berdepan dengan angin daripada penghawa dingin yang agak kuat di dalam dewan.

Bagaimanapun, Chong Ming berkata berkata masih ada beberapa perkara yang perlu diatasi bagi memantapkan permainan Pearly-Thinaah.

“Antaranya mereka perlu lebih fokus terutama di akhir-akhir perlawanan,” katanya.

Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai

Turut mengiringi mereka ke pusingan kedua adalah dua beregu lelaki professional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

V Shem-Wee Kiong menang ke atas Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman 21-11, 21-18 manakala Yew Sin-Ee Yi menundukkan beregu India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-13, 21-12.

Pasangan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong tersingkir awal manakala cabaran dalam perseorangan wanita turut berakhir selepas Soniia Cheah dan S Kisona, masing-masing tunduk kepada lawan mereka.

Hang Yee-Eng Cheong tunduk di tangan Mathias Christiansen-Niclas Nohr dari Denmark 16-21, 19-21 manakala Soniia tewas kepada pilihan kelima, Pusarla Sindhu dari India 11-21, 17-21.

Kisona pula ditunjuk jalan keluar oleh Busanan Ongbamrungphan dari Thailand 6-21, 7-21.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: