Antarabangsa Badminton

Malaysia tiada lagi wakil dalam beregu lelaki


Yew Sin-Ee Yi kandas seawal pusingan kedua All England.

CABARAN negara dalam acara beregu lelaki kejohanan All England berakhir selepas dua pasangan profesional kecundang dalam perlawanan pusingan kedua masing-masing.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Niclas Nohr 19-21, 18-21 dalam pertarungan selama 33 minit.

Beregu nombor 99 dunia dari Denmark itu, kini akan bertemu pasangan Jepun, Horoyuki Endo-Yuta Watanabe di suku akhir, yang sebelum itu menundukkan satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Impian Yew Sin-Ee Yi mencipta kejutan tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan keempat, Horoyuki-Yuta 10-21, 19-21.

Tugas Yew Sin-Ee Yi sememangnya sudah nampak sukar sebelum melangkah masuk ke gelanggang berikutan rekod pertemuan dengan pasangan nombor enam dunia itu jelas milik lawan yang menang kesemua lima pertarungan mereka.

Biarpun cuba memberi tentangan di set pertama, lawan jelas lebih bersedia apabila mendahului 7-2 sebelum Yew Sin-Ee Yi dapat merapatkan jurang kepada 10-7.

Namun, tujuh mata berturut-turut oleh pasangan Jepun itu untuk kedudukan 17-7 menyebab tugas lebih sukar buat gandingan negara sebelum menyerah dengan 10-21 dalam masa 15 minit.

Pasangan negara cuba melakukan kebangkitan di set kedua dengan tidak membenarkan lawan mendahului dengan jurang mata yang besar.

Begitupun,empat mata berturut-turut oleh Horoyuki-Yuta membolehkan mereka mendapat kelebihan pada kedudukan 20-16. Hanya tiga mata lagi dikutip pasangan negara sebelum gandingan Jepun itu memastikan kemenangan dengan 21-19 dalam masa 22 minit.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: