Hoki Semasa Terkini

Reezal mahukan laporan terperinci

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Reezal Merican menandatangani plak pelancaran logo Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) pada Majlis Pelancaran Logo Rasmi Program NHDP di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Oleh : Subkhi Sudarji

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) perlu memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan permukaan padang utama Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil seperti yang terjadi hari ini.

Keadaan ini menyebabkan aksi Liga Hoki Malaysia kategori wanita membabitkan  pertemuan PDRM Blue Warriors dan UniKL Ladies yang dijadual berlangsung petang tadi di padang utama terpaksa ditunda ke sebelah malam selepas terdapat kerosakan dalam kawasan D.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, secara peribadi merasakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Difahamkan padang hoki ini baru lagi (dinaik taraf). Saya akan arahkan PSM untuk beri laporan secara terperinci.

“Memang benar stadium ini tidak digunakan selama setahun kerana Perintah Kawalan Pergerakan tetapi ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan kadar segera. Ia mungkin berlaku sama ada disebabkan oleh padang atau sistem perparitan,” katanya.

Untuk rekod permukaan padang Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ditukar baru menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 namun padang sama ditutup selepas mengalami kerosakan sebelum dibaiki semula dua tahun lalu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: