
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
KEJAYAAN Dollah Salleh membantu Sri Pahang FC meraih kemenangan pertama musim ini jelas mempunyai mesej tersirat yang membuktikan jurulatih tempatan memiliki kualiti tersendiri dan tidak boleh dipandang rendah.
Selain lebih mengenali pemain dan memahami ‘bola sepak Malaysia’, kejayaan bekas pengendali Harimau Malaya itu harus membuka mata pasukan untuk tidak mengetepikan jurulatih tempatan.
“Selama ini jurulatih tempatan memang ada kualiti.. atas percaya atau tidak percaya saja,” kata Dollah secara ringkas ketika ditanya tentang kemampuan jurulatih tempatan.
Sejak mengemudi selepas Thomas Dooley ‘direhatkan’, Dollah pantas meraih keputusan positif bermula dengan mengikat Melaka United tanpa jaringan dan menundukkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, semalam.

Mengulas lanjut tentang kemenangan sulung musim ini, Dollah akui yang dia cukup lega dengan kejayaan itu.
“Sekarang memang lega tetapi tadi (ketika perlawanan berlangsung) tidak. Selepas berjaya dapatkan dua gol, saya lega.
“Apabila Sabah FC jaringkan gol, pemain jadi kucar kacir dan tidak tentu arah. Apa pun saya bangga dengan pemain yang terus bersaing walaupun dalam keadaan tidak larat,” katanya.
Add Comment