
Oleh : Subkhi Sudarji
TERENGGANU FC tidak berhasrat hendak bersaing dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana masih terlalu awal untuk meletakkan pasukan antara pencabar penyandang juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu.
Menang tiga perlawanan meletakkan skuad bimbingan Nafuzi Zain kini dikedudukan kedua liga berkongsi sembilan mata dengan JDT namun perbezaan jaringan membezakan kedudukan selepas tiga perlawanan.
Bagi Nafuzi, perlawanan baru memasuki tiga perlawanan dan masih berbaki 19 aksi lagi yang perlu dilalui semua pasukan.
“Kita bukannya hendak bersaing dengan JDT, kita perlu fokus dengan setiap perlawanan dari masa ke semasa, akhirnya kita akan tengok kedudukan pasukan di penghujung Ogos nanti.
“Perlu konsisten disetiap perlawanan dan penghujung Ogos nanti jika kita berada dikedudukan teratas liga barulah kita bagus,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan menentang Perak FC, malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, penyerang TFC, Faisal Halim meletakkan pasukan dihadapan pada minit ke 24 sebelum pemain import yang beraksi di bahagian tengah, Dechi Marcel menggandakan kelebihan dipenghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan pasukan.
Mengulas aksi barisan pemainnya, Nafuzi melihat masih ada kerja keras perlu dilakukan pemainnya untuk menghadapi perlawanan akan datang.
“Bagi saya kesilapan mudah diri sendiri yang membuka ruang kepada lawan menjaringkan gol perlu dipertingkatkan.
“Pertahanan melakukan kerja keras begitu juga pemain lain apa yang pasti tahniah buat semua pemain yang menjalankan tugas sebagaimana diarahkan iaitu memberikan yang lebih baik dari perlawanan sebelum ini kerana kita berdepan dengan Perak FC.
“Alhamdulillah tiga mata ditempat lawan,” tegasnya.
Add Comment