
Oleh Mohd Fahmi Ismail
SENTUHAN anak Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah bersama kelab Mukhtijodda SKC di Liga Perdana Bangladesh ternyata tidak pernah mengecewakan.
Apa tidaknya, sejak membimbing kelab itu, tiga pemainnya dipanggil untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan Bangladesh menjelang persiapan Pra Kelayakan Piala Dunia FIFA dan pertandingan tiga penjuru undangan daripada Nepal FA.
Berita gembira ini cukup membuatkan naluri Raja Isa tersentuh kerana misinya ketika diperkenalkan kepada sidang media yang lalu adalah ‘menghantar’ seramai mungkin pemain untuk wakili skuad utama Bangladesh.
“Syukur, tidak sampai beberapa bulan saya bersama Mukhtijodda di Liga Perdana Bangladesh, tiga pemain kami mendapat panggilan melapor diri ke pusat latihan.
“Ia selepas hampir tiga musim lamanya pemain daripada kelab ini tidak menerima call-up dari pasukan Bangladesh.
“Sudah tentu saya teruja kerana taktikal, mentaliti dan falsafah yang diterapkan membuahkan hasil dan kesan positif luar biasa buat pemain,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Pemain beliau yang disenaraikan untuk skuad kebangsaan adalah penyerang, Mehedi Hassan Royel, Md Emon dan Md Mehedi Hassan di posisi pertahanan tengah.
“Saya kini lebih bermotivasi untuk membangunkan skuad yang ada dan berharap kami lebih kompetetif pada pusingan kedua liga.
“Harapan saya akan ada beberapa lagi pemain muda dipanggil mewakili negara Bangladesh,” ujarnya pernah menetap lama dan bergelar jurulatih profesional di Liga Indonesia.
Add Comment