
Oleh : Subkhi Sudarji / Izari Rosli
JARINGAN gol penyamaan pemain gantian Mohammad Faris Shah Mohd Rosli dipenghujung perlawanan menyelamatkan maruah Melaka United untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata dengan Petaling Jaya City FC.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi, Melaka United berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke 56 hasil jaringan S Kumaahran namun barisan tuan rumah bangkit menjaringkan dua gol melalui Darren Lok pada minit ke 70 dan 85 sebelum Faris menjaringkan gol untuk kedudukan 2-2.
Turun dengan empat pemain import manakala tuan rumah yang memerah kudrat pemain tempatan, anak didik Zainal Abidin Hassan nyata tenggelam pada 15 minit separuh masa pertama.
Tidak banyak gerakan menarik dijelmakan kedua-dua pasukan dengan bola banyak berlegar dibahagian tengah padang mewarnai tempoh 45 minit pertama.
Gol perlawanan akhirnya muncul pada separuh masa kedua hasil tandukan sempurna pemain Melaka United FC, S Kumaahran untuk menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke 56.
Kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila Darren Lok menjaringkan gol selang 14 minit kemudian untuk mengikat kedudukan 1-1.
Gol kemenangan tuan rumah terhasil melalui sepakan penalti selepas pemain gantian, Ahmad Khairil Anuar Zamri dijatuhkan dalam kotak penalti.
Darren yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol kedua.
Ketika maruah Melaka United hampir dicalar tuan rumah, Mohammad Faris berjaya menjaringkan gol kedua untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata dengan lawan.
Add Comment