Badminton Terkini

Pearly-Thinaah perlu kekal fokus, jangan besar kepala


JAMES SELVARAJ

JANGAN biarkan diri dihanyut kejayaan. Sebaliknya jadikan ia sebagai titik permulaan untuk kejayaan masa depan.”

Itulah nasihat bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj kepada gandingan Pearly Tan-M Thinaah .

James tidak mahu pasangan muda itu leka selepas baru menjuarai beregu wanita Terbuka Switzerland dalam siri Jelajah Dunia Super 300.

Sebaliknya, James mahu kedua-dua pemain itu kekal fokus memantapkan gandingan supaya dapat berdiri sama tinggi dengan beregu terbaik dunia.

”Kejayaan ini harus menjadi motivasi bagi mereka untuk terus cemerlang.

”Apa yang penting sekarang adalah untuk mereka memastikan diri mampu melayakkan diri secara automatik dalam saingan lebih tinggi.

”Mereka harus mempunyai sasaran untuk bersaing di kejohanan lebih besar. Sekarang mereka juara di saingan tahap keempat, sasaran seterus adalah di tahap ketiga dan seterusnya,” kata James kepada CAKAPSUKAN.

Sebagai rekod siri Jelajah Dunia terdiri daripada lima tahap di mana yang teratas adalah Super 1,000 diikuti Super 750, Super 500, Super 300 dan Super 100.

Lapan pemain atau pasangan terbaik kemudian layak ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia dengan maksimum dua wakil bagi setiap negara.

Gandingan Pearly-Thinaah yang tidak diletakkan sebagai pilihan menjadi beregu wanita pertama negara muncul juara dalam sejarah 66 tahun kejohanan itu.

Thinaah, 23, berkata kejayaan itu menambah semangat mereka untuk terus memburu kejayaan termasuk apabila bersaing di kejohanan All England dari 17-21 Mac ini.

”Kejayaan ini memberi kami keyakinan dan motivasi untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya dalam video yang dikeluarkan dalam Facebook BAM.

Thinaah dan Pearly, 20, yang baru digandingkan pada 2019, mencipta kejutan apabila menundukkan pilihan ketiga yang juga pasangan nombor 14 dunia, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-19, 21-12 di Basel.

Sementara itu, James juga mahu BAM memastikan pasangan yang kini menduduki ranking ke-30 dunia itu mendapat pendedahan yang sepatutnya.

”Pasangan ini sudah menunjukkan potensi mereka dan BAM perlu memastikan mereka mampu terus meningkat.

”Pada masa sama, pastikan tiada gangguan luar hingga boleh mengganggu tumpuan mereka atau menyebabkan pemain-pemain ini besar kepala.

”Kita harus belajar dari sejarah dan pastikan ia tidak berulang,” kata James.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: