
Oleh : Subkhi Sudarji
SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) yang membuka tirai minggu ini jelas menggembirakan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam usaha mengintai beberapa muka baharu untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Namun disebalik keterujaannya dan juga pemain serta peminat merasai aura saingan liga tempatan terdapat sedikit kebimbangan dirasai Cheng Hoe membabitkan kecederaan pemain utama Harimau Malaya.
Selepas aksi pertama Liga Super, kelihatan pemain JDT , Safawi Rasid mengalami kecederaan dan dua kali diberikan rawatan ketika aksi Piala Sumbangsih 2021 menentang Kedah Darul Aman (KDA FC), Jumaat lalu.
Ketiadaan kelibat Brendan Gan dalam senarai pemain Selangor FC ketika menentang Sri Pahang FC, Sabtu lalu juga menimbulkan kebimbangan buat Cheng Hoe.
Lantas selepas sidang media perlawanan, pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel memaklumkan tonggak utamanya itu mengalami kecederaan dibahagian kaki ketika sesi latihan dan terpaksa diketepikan untuk beberapa perlawanan.
Bagi Cheng Hoe, tanpa latihan yang sistematik dan pertandingan kompetitif membabitkan barisan pemain Harimau Malaya mencetuskan kebimbangan anak buahnya akan dibelenggu kecederaan serius apabila beraksi bersama kelab masing-masing.
“Sudah pastinya jika sudah lama tidak beraksi pada saingan kompetitif akan menyebabkan pemain dibelenggu kecederaan seterusnya menjejaskan persediaan skuad Harimau Malaya.
“Ketika ini, kita mahu memastikan semua tonggak Harimau Malaya tidak berhadapan masalah kecederaan supaya boleh menurunkan barisan terkuat pada perlawanan Jun nanti.
“Saingan masih awal dan kami akan sentiasa memantau pemain,” katanya ketika dihubungi CAKAPSUKAN.
Malaysia yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sepatutnya turun beraksi menentang Emiriag Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam hujung bulan ini, serta Thailand pada Jun nanti.
Bagaimanapun kempen terbabit terpaksa ditangguhkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas majoriti negara bertanding termasuk dari Kumpulan G bersetuju menundanya hingga Jun ini dengan menggunakan format secara karnival di satu negara terpilih.
Add Comment