MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pasukan bertanding dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).
Ketika ini, pelaksanaan SOP mengikut gelembung sukan cukup didambakan bagi meyakinkan kerajaan untuk cuba mempertimbangkan kehadiran semula penyokong ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
“Malam tadi saya singgah sebentar ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk melihat pematuhan gelembung sukan yang diperkenalkan untuk Liga Bola Sepak Malaysia.
“Terima kasih pihak kerajaan negeri, MFL (Malaysia Football League), pengurusan Penang FA, Penang FC dan para pemain yang cukup teliti dalam memastikan ‘sports bubble’ ini dapat menyediakan persekitaran kalis penularan kepada semua yang terlibat.
“Saya cukup optimis bahawa komitmen ini akan memberi keyakinan penuh kerajaan bahawa sukan boleh dijalankan dengan selamat sekiranya pematuhan SOP diberikan keutamaan.
“KBS juga sedang berusaha untuk membolehkan pemain ke-12 dapat kita bawa masuk ke stadium. Saya yakin usaha ini akan mendapat pertimbangan kerajaan,” katanya menerusi muat naik terbaru di laman sosial Facebook.
Sebelum ini, CakapSukan melaporkan yang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan sokongan pihak kerajaan untuk mempertimbangkan membenarkan kehadiran penyokong ke stadium bagi menyaksikan Liga M musim ini.
Jumlah itu bagaimanapun akan dibenarkan pada skala kecil dan berperingkat mengikut keadaan semasa jumlah kes Covid-19.
Add Comment