Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Berlin Leong sedia gegar Sepanyol


PEMAIN remaja wanita kebangsaan, Berlin Leong, membawa nama Malaysia di mata dunia apabila beliau kini beraksi untuk skuad wanita kedua C. F. Pozuelo di Sepanyol.
Dilahirkan dan membesar di Kuala Lumpur, Berlin atau nama sebenarnya, Leong Xin Ying, 19, telah memulakan perjalanan di bumi Sepanyol dan diberi peluang pertama untuk beraksi bersama pasukan belia C. F. Pozuelo (C. F. Pozuelo Juvenil A) pada Ogos 2019.
“Saya memulakan latihan serta beraksi buat kali pertama bersama pasukan belia C. F. Pozuelo. Latihan bersama kelab ini juga telah mendedahkan kepada saya mengenai teknik baharu serta kompleks dan ini telah meningkatkan keyakinan saya beraksi di atas padang.
“Walau bagaimanapun, saya terpaksa pulang ke Malaysia pada Mac 2020 kerana pandemik COVID-19,” kata Berlin.
Menyifatkan peluang beraksi untuk skuad kedua wanita C. F. Pozuelo sebagai satu pengalaman yang sangat berharga, Berlin menyatakan latihan di sana adalah berbeza daripada apa yang pernah beliau jalani di tanah air, sebelum ini.
“Latihan di sini sedikit berbeza kerana ia meliputi aspek taktikal serta fizikal di dalam satu sesi. Saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana telah menganggap jurulatih serta rakan pasukan sebagai keluarga di sini,” jelas Berlin.
Nama Berlin mula menjadi tumpuan di bumi Sepanyol selepas diturunkan buat kali pertama pada aksi menentang skuad wanita kedua Real Madrid pada 13 Disember 2020 selain berjaya membarisi kesebelasan utama pada aksi menentang Olimpico de Madrid pada 19 Disember 2020.
Berlin pernah beraksi untuk pasukan remaja wanita kebangsaan pada Kelayakan Kejuaraan Wanita B-19 AFC pada 2018 dan JENESYS 2018 Japan-ASEAN Youth Sports Exchange pada 2019.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: