Lain-Lain

MSN sangkal dakwaan MAKAF


Ahmad Shapawi Ismail

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan agensi itu mengamalkan sikap pilih kasih sebagaimana didakwa Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berhubung tangga gaji dan peruntukan jurulatih yang tidak setimpal.

Jelasnya, dakwaan tersebut sebenarnya agak menyimpang dari situasi sebenar.

“Keputusan MAKAF memberhentikan jurulatih luar negara Ali Reza yang sebenarnya adalah calon pilihan MAKAF sendiri sebelum ini dan ekoran daripada masalah dalaman MAKAF, jurulatih berkenaan digantikan dan kita akur dengan keputusan itu.

“Rentetan dari itu, MAKAF mencadangkan untuk melantik kembali  R Puvaneswaran yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih pasukan pelapis kebangsaan sebelum diberhentikan oleh pengurusan MAKAF yang sama.

“Selepas beliau menamatkan perkhidmatannya di Thailand, MAKAF berhasrat mengambilnya kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan dan kita juga akur dengan keputusan MAKAF tersebut,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

Pada masa sama Shapawi menjelaskan MSN mempunyai limitasi tertentu dalam menentukan peruntukan gaji serta kadar kenaikan gaji jurulatih yang tertakluk kepada Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang digunakan untuk semua jenis sukan bagi memastikan ia adil kepada semua pihak.

“MAKAF sememangnya maklum tentang perkara ini. Pihak MAKAF dialu-alukan untuk menyediakan insentif tambahan kepada jurulatih yang sedia ada sebagaimana yang dilakukan oleh persatuan sukan yang lain yang mempunyai kemampuan kewangan mereka sendiri,” katanya.

Shapawi juga memakluman MSN akan mempertimbangkan dan mengadakan perbincangan semula dengan MAKAF melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Karate nanti yang dijangka akan diadakan pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Untuk rekod, terdahulu Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad dalam satu kenyataan mendakwa MSN mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan sukan di negara ini.

Beliau, berkata agensi sukan kerajaan itu seharusnya memberi peruntukan dengan adil kepada semua persatuan sukan dan bukan hanya tertumpu kepada sukan popular.

Katanya, jurulatih tempatan bagi sukan kurang popular di negara ini seperti karate tidak menerima tangga gaji yang sepatutnya walaupun sudah membantu negara merakam pencapaian cemerlang.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: