Badminton Semasa Terkini

Jin Wei kembali beraksi


 

Terbuka Australia pada Jun 2019 adalah aksi terakhir Jin Wei.

SELEPAS 21 bulan ‘berehat’ daripada sebarang pertandingan, Goh Jin Wei bakal kembali ke gelanggang antarabangsa dengan kejohanan Orleans Masters di Perancis menjadi ujian awal kemampuannya.

Juara remaja dunia bagi acara perseorangan wanita 2015 dan 2018 itu, sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat pembedahan pembuangan usus besarnya pada Oktober 2019, selain ketiadaan pertandingan akibat Covid 19.

Kali terakhir Jin Wei, 21, beraksi adalah di Terbuka Australia pada Jun 2019 sebelum masalah usus yang sudah lama ditanggungnya terus menghantuinya.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh mengesahkan Jin Wei adalah antara lapan pemain lelaki dan wanita yang dihantar menyertai kejohanan berstatus Super 100 yang bermula dari 23 hingga 28 Mac ini.

“Ini peluang terbaik untuk Jin Wei kembali mencari rentak selepas begitu lama tidak beraksi,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

S Kisona

Turut bersama Jin Wei dalam acara perseorangan wanita di kejohanan yang menawarkan hadiah US$90,000 itu adalah pemenang pingat emas Sukan Sea 2019, S Kisona dan naib juara remaja dunia 2015, Lee Ying Ying.

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki akan digalas oleh Cheam June Wei manakala beregu wanita pula dibarisi Yap Ling-Teoh Mei Xing dan Yap Cheng Wen-Anna Cheong.

Sementara itu, BAM turut menguji gandingan baru dalam acara beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei apabila menghantar mereka menyertai Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland dari 25 hingga 28Mac ini.

“Pendedahan ini adalah antara rancangan BAM mewujudkan gandingan baru bagi menggantikan mereka yang digugurkan dan menarik diri sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, BAM menggugurkan tiga pemain beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Lai Pei Jing sebelum pasangan Pei Jing, Tan Kian Meng mengambil keputusan menarik diri untuk meneruskan gandingan mereka sebagai pemain bebas.

Ketika ini, BAM hanya mempunyai dua beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See serta Chen Tang Hie-Peck Yen Wei dan masing-masing tewas di pusingan pertama Terbuka Switzerland yang bermula semalam.

Senarai pemain:

Orleans Masters

Perseorangan lelaki: Cheam June Wei

Perseorangan wanita: S Kisona, Goh Jin Wie, Lee Ying Ying

Beregu wanita: Yap Ling-Teoh Mei Xing, Yap Cheng Wen-Anna Cheong

Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland

Perseorangan lelaki:Leong Jun Hao, Ng Tze Yong Aidil Sholeh Ali Sadikin, Lim Chong King, Lee Shun Yang, Shaqeem, Eiman Shahyar,
Wyman Goh

Perseorangan wanita: Eoon Qi Xuan

Beregu lelaki: Man Wei Chong- Tee Kai Wun, Chia Weijie- Chang Yee Jun, Yap Roy King- Nurfirdaus Azman

Beregu campuran: Choong Hon Jian- Toh Ee Wei


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: