Oleh Mohd Fariq
KECOH laman sosial baru-baru ini apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaikan memberi bayangan mahu membeli salah satu kelab ternama La Liga, Valencia.
Tercetuslah spekulasi dalam kalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan yang meramalkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu sedang berkira-kira untuk membeli Valencia selepas berkongsi data ataupun pencapaian kelab Sepanyol itu di laman sosial Instagram.
Jika diikutkan harga pasaran, nilai Valencia dianggarkan sekitar 408 juta euro (RM1.9 bilion) dan ternyata angka itu bukan kecil.
Maka orang ramai mula berteori berpendapat tokoh bola sepak tempatan itu sememangnya layak untuk meluaskan empayarnya sebagaimana kejayaan baginda membina identiti JDT dalam peta bola sepak dunia.
Secara peribadi penulis bersetuju dengan pandangan itu.
Kenapa? Mudah sahaja, penulis berpendapat La Liga adalah medan terbaik untuk mengembangkan lagi potensi Tunku Ismail sebagai salah satu pencatur bola sepak berkelas dunia.
Melihat dominasi JDT sepanjang tujuh tahun lalu jelas membuktikan Tunku Ismail telah jauh meninggalkan pesaing-pesaing baginda.
Menjadi juara Liga Super tujuh berturut-turut, johan Piala AFC dan mengambil semua trofi domestik seperti Piala Sumbangsih, Piala FA serta Piala Malaysia ternyata JDT jauh ke depan.
Jadi, penulis sangat optimis bahawa sudah tiba masanya Tunku Ismail membuktikan sentuhan di peringkat Eropah sebagaimana baginda berjaya tranformasikan JDT dalam Liga Malaysia.
TUNKU ISMAIL BERMULA DARIPADA BAWAH
Ingatkah kalian janji Tunku Ismail berjanji akan mengangkat nama JDT di babak-babak awal baginda ketika pengambil alihan pasukan itu pada 2013?
Mungkin ketika itu ada yang sangsi dengan cita-cita tinggi Tunku Ismail tetapi baginda membuktikan titah baginda melalui perbuatan.
Menjadi jaguh dalam peringkat domestik dengan konsisten sepanjang tujuh bukan satu tugas yang mudah.
Ada yang berpendapat resepi kejayaan JDT disebabkan kuasa kewangan tetapi penulis sangkal dakwaan tersebut.
Ramai orang lupa dengan kesulitan yang ditempuhi oleh Tunku Ismail ketika baginda menjadi pemilik JDT pada tahun pertama.
Tunku Ismail bukanlah sempurna di mana baginda juga ada melakukan kesilapan.
Namun baginda sentiasa belajari tidak mengulangi kesilapan dan sentiasa memastikan JDT bergerak dalam landasan global, bukannya semata-mata mahu menjadi jaguh domestik sahaja.
Inilah yang membezakan Tunku Ismail dengan orang lain di mana baginda memanipulasikan kesulitan itu bertukar menjadi titik kebangkitan JDT.
Justeru penulis tidak hairan jika Tunku Ismail akan mengulangi magisnya untuk mengangkat kembali martabat Valencia jika baginda membeli kelab Sepanyol itu.
Apatah lagi pemilik kelab Valencia, Peter Lim merupakan sahabat baik baginda di mana ia akan memudahkan lagi proses untuk mengangkat Valencia kembali disegani dalam La Liga.
VISI TUNKU ISMAIL SENTIASA RELEVAN DAN SEGAR
Tatkala pasukan lain sibuk merancang pembelian pemain, Tunku Ismail bermain ‘permainan’ sebaliknya.
Ini kerana corak permainan Tunku Ismail adalah memberikan keutamaan kepada kemudahan fasiliti JDT.
Inilah yang membezakan JDT dengan kelab-kelab lain di mana visi dan misi Tunku Ismail sentiasa meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelas tersendiri sebagaimana baginda sentiasa menitikberatkan fasiliti-fasiliti terbaik bertaraf dunia buat barisan pemain dan pegawai.
Terbaharu, JDT melancarkan Pusat Medikal dan Kecergasan JDT secara virtual di mana kemudahan kemudahan fasiliti ini menjadi yang pertama di Asia Tenggara dan akan menempatkan para doktor dan pakar fisioterapis sepenuh masa.
Pusat Medikal dan Kecergasan ini bakal dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan medikal seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.
Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.
Semua peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan medikal yang sudah dibeli pada tahun-tahun sebelum ini.
Sekali lagi Tunku Ismail memaksa JDT keluar dari ‘kepompong’ dunia bola sepak Malaysia yang sebelum ini kebanyakan lebih menumpukan baikpulih stadium, padang atau pemburuan pemain import semata-mata.
Secara kesimpulan, Liga Malaysia bukan lagi gelanggang sebenar buat Tunku Ismail di mana penulis percaya Valencia adalah destinasi tepat buat baginda untuk perkembangan empayar.
Ketokohan Tunku Ismail tiada tolok bandingan dan penulis percaya banyak manfaat bukan sahaja untuk JDT tetapi bola sepak negara khususnya jika baginda berjaya membeli kelab Valencia.
Kata orang, kota rom tidak dibina dalam satu hari.
Akhir kata daripada penulis, sudah tiba masanya jenama Tunku Ismail perlu diperkenalkan di seluruh dunia dan kita patut berbangga memiliki tokoh bola sepak berkelas dunia dari anak Johor, Malaysia.
Add Comment