Badminton

Roslin pelik alasan pemain kebangsaan


 

ROSLIN HASHIM

“ADA kejohanan tak mahu pergi, bila tiada merungut kekurangan pertandingan. Apa yang pemain mahu sebenarnya.”

Itulah persoalan yang bermain di fikiran Roślin Hashim apabila melihat beberapa pemain kebangsaan memilih mengetepikan kejohanan All England  walaupun akan berada di Eropah untuk menyertai Terbuka Switzerland di Basel dari 2 hingga 7 Mac ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui pelik dengan alasan yang diberikan pemain iaitu All England yang bermula dari 17-21 Mac tidak menawarkan mata kelayakan Olimpik selain bimbang dengan keadaan Covid 19 di negara itu.

Walaupun mengakui faham dengan kebimbangan pemain khususnya dengan varian baharu Covid 19 United Kingdom yang lebih cepat menular, Roslin, tetap menganggap ia sebagai alasan yang sukar diterima.

“Saya perçaya jika All England menawarkan mata Olimpik, pasti pemain tetap mahu beraksi biarpun dengan keadaan pandemik seperti itu.

“Bagi saya alasan Covid 19 sukar diterima kerana jika betul-betul bimbangkan pandemik itu, pasti mereka juga tidak mahu ke Switzerland,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Setakat ini, Switzerland yang mempunyai jumlah penduduk tidak sampai 9 juta orang  sudah mencatat 553,868 kes Covid 19 dengan 1,169 kematian berbanding United Kingdom dengan lebih  68 juta penduduk yang merekodkan 4,144,577 kes dan 121,747 kematian.

Dua beregu lelaki utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM),  Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani  serta pasangan utama wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean memilih hanya menyertai Terbuka Switzerland dan mengetepikan All England.

Perancangan awal untuk mereka adalah menyertai dua daripada tiga kejohanan dalam Liga Eropah iaitu Terbuka Switzerland diikuti Terbuka Jerman pada 9-14 Mac atau All England.

Namun penganjur Terbuka Jerman, yang turut menawarkan mata Olimpik, membatalkannya berikutan kebimbangan kes Covid 19 yang meningkat di negara itu.

Menurut Roślin, pemain seharusnya menggunakan kesempatan untuk turut beraksi di All England bagi mendapatkan semula sentuhan mereka yang jelas masih berkarat ketika beraksi di Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia di Bangkok, bulan lalu.

“Saya tidak mahu memperkatakan mengenai keputusan di Bangkok. Apa yang ketara ialah rentak permainan pemain negara boleh dikatakan ‘hancur’.

“Jelas pemain belum mendapat ‘feeling’ untuk beraksi di gelanggang selepas begitu lama tidak beraksi pada 2020.

“Sebab itu saya katakan pemain harus bermain dalam lebih banyak kejohanan untuk mendapatkan feeling yang hilang itu,” katanya.

Menurut Roślin, dalam keadaan pandemik yang menyebabkan ada kejohanan yang dibatalkan pada saat-saat akhir adalah lebih baik untuk mereka beraksi di kejohanan yang sudah sah akan dilangsungkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: