Bola Sepak

KFA saran peminat Hijau Kuning bersabar


PERSATUAN Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) sebulat suara menyokong penuh keputusan YAB Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah merangkap Presiden KFA untuk tidak meneruskan dan memberhentikan rundingan pengambil alihan 80 peratus saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) oleh sebuah syarikat tempatan.

Menurut kenyataan rasmi FA Kedah, Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA menyokong penuh KDA FC diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn. Bhd. buat masa ini.

Selain itu, ia juga untuk meninjau peluang pelaburan dengan terus membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak dalam isu pemilikan saham KDA FC di masa akan datang.

“KFA menekankan bahawa setiap tawaran dilakukan biarlah bermaksud untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat Negeri Kedah.

“Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA percaya kepada kebijaksanaan YAB Presiden dalam membuat keputusan yang diumumkan baru-baru ini, pasti selepas mempertimbangkan semua aspek teknikal dan perundangan, cadangan pelaburan syarikat tersebut tidak dapat dipersetujui kerana melibatkan aset utama rakyat Negeri Kedah,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, memberi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Negeri Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC adalah keputusan yang cukup jelas dan berhikmah sebagai seorang ketua pentadbiran negeri Kedah.

“Justeru, KFA menyokong penuh jika di masa hadapan, rundingan pengambil alihan saham KDA FC diteruskan kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk mengurus operasi KDA FC tanpa meletakkan tawaran berserta syarat diluar bidang kuasa syarikat pengurusan sebagai galang ganti untuk menjalankan pelaburan.

“Kami percaya banyak lagi model pelaburan yang lebih menguntungkan kedua-dua pihak jika sesuatu pelaburan itu bersandarkan kepada industri bolasepak dan melihat kelestarian sesuatu pelaburan ditempat yang sepatutnya,” katanya.

KFA juga sentiasa mendoakan semoga YAB Presiden KFA terus menerajui dan menguruskan pentadbiran negeri dan KFA dengan bijaksana dalam memastikan kepentingan semua pihak dalam negeri Kedah diberi keutamaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: