Oleh : Subkhi Sudarji
ISU logo Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC) yang menjadi pendebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial apabila dikatakan tidak mempunyai ‘originality’ dan hanya diambil daripada laman ‘google image’ ternyata berjaya menarik perhatian penggiat bolasepak tempatan.
Bermula episod inilah skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan semakin menjadi tumpuan baik persiapan pasukan mengharungi saingan musim 2021 mahupun hal-hal berkaitan kewangan, MUFC sentiasa menjadi bualan pemerhati.
Tidak banyak perubahan khususnya barisan pemain tempatan yang dibawa masuk, mungkin ingin berpada-pada ataupun mengukur kemampuan kewangan yang dimiliki pasukan.
Buruan beberapa pemain import juga menjadi topik utama skuad yang mendapat jolokan Hang Tuah ini bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan musim 2021.
IKAT IMPORT
Lain yang dikejar lain pulak yang dapat itulah yang berlaku apabila Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) sah menandatangani penyerang dari Brazil, Alex dos Santos Goncalves dan pemain skuad kebangsaan Filipina, Manuel Gelito Ott sebagai pemain baharu musim ini.
Alex Goncalves sebelum ini beraksi dalam Liga Indonesia bersama kelab Persela Lamongan dan Tira-Persikabo. Penyerang yang berusia 31 tahun itu dianggap sebagai ‘mesin gol’ dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia apabila beliau menjaringkan 18 gol dalam 32 penampilan.
Manakala Manuel Ott yang mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan itu mempunyai pengalaman beraksi bersama beberapa kelab Jerman antaranya TSV 1860 Munich dan FC Ingolstadt 04.
Selain itu, dua pemain import pada musim lepas, Sony Norde dan pemain dari Korea Selatan, Jang Suk-Won turut menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama Melaka United.
Kelab tersebut juga mengumumkan lanjutan kontrak bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat selama dua musim sehingga tahun 2022 sekaligus menepis khabar angin mengenai perpindahannya ke pasukan JDT.
ELAK MASALAH LUARAN
Melihatkan kepada persiapan pasukan dan keserasian dikalangan pemain, MUFC boleh dianggap mampu memberikan saingan kepada pasukan lain seandainya tiada permasalahan lain yang timbul semasa saingan berlangsung.
Pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua pemain import tersebut menjadi senjata baharu kepada pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan untuk membentuk barisan dalam lebih mantap musim ini.
PEMAIN TUMPUAN
- Alex dos Santos Goncalves (Penyerang0
- Manuel Gelito Ott (Penyerang)
PENCAPAIAN 2020
- Tangga ke 9
Add Comment