Hoki Terkini

Kejohanan TNB MHL 2021 bermula 11 Mac


Dr. Anil Jeet Singh

 

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM)  memaklumkan penganjuran kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021, Premier dan Wanita akan diadakan pada 11 Mac hingga 3 April 2021.

Pengerusi  Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’  Dr. Anil Jeet Singh berkata, kejohanan diadakan selepas mendapat kelulusan daripada Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menganjurkan Kejohanan tersebut.

Jelasnya, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kekal selaku venue kejohanan dengan saingan bagi kategori Premier akan bermula pada 11 Mac sementara kategori Wanita pula akan memulakan saingan pada 15 Mac selain acara final bagi kedua-dua ketegori akan berjalan serentak pada 3 April 2021.

“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, MKN, KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas kelulusan yang diberikan untuk memulakan latihan bagi pasukan yang akan bersaing dalam TNB MHL 2021 termasuk kebenaran penganjuran kejohanan ini.

“Kejohanan akan dijalankan secara gelembung sukan dan setiap pemain, pegawai serta individu yang terlibat secara langsung akan ditempatkan pada satu tempat di mana mereka akan mula mendaftar masuk beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

“Pemain serta pegawai juga diwajibkan untuk melakukan ujian calitan Covid-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum mendaftar masuk ke penempatan khas yang telah disediakan serta menghantar keputusan ujian tersebut kepada KHM untuk kami pastikan semua yang terlibat bebas daripada Covid-19.

“Selepas mendaftar masuk, tiada siapa dibenarkan untuk keluar daripada pusat penempatan tersebut sepanjang kejohanan kecuali kes-kes kecemasan seperti kematian dan beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan untuk mendapat pelepasan.

“Sepanjang tempoh kejohanan juga, KHM akan melakukan ujian calitan Covid-19 (RTK-Antigen) untuk kami memantau keadaan kesihatan pemain dan ia juga bagi memastikan semuanya dalam keadaan terkawal,” jelasnya.

Kejohanan TNB MHL 2021 akan dilangsungkan secara berpusat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN juga KBS selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk kejohanan dilangsungkan secara gelembung sukan.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: