Hoki Terkini

KHM harap Liga Hoki Malaysia diberi kebenaran


KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengharapkan kerajaan akan meluluskan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan penganjuran saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu akan memainkan peranan cukup penting kepada pasukan senior kebangsaan serta skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita kerana penganjuran liga tersebut merupakan antara platform untuk pemain mendapatkan sentuhan perlawanan.

“Kejohanan TNB MHL 2021 turut dijadikan sebagai persediaan kepada pasukan negara sebelum menghadapi perlawanan akan datang terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Penganjuran TNB MHL 2021 juga tentunya akan memberi impak kepada arena hoki di Malaysia dari sudut kelangsungan ekonomi pemain serta kepercayaan pihak penaja untuk terus menghulurkan penajaan dan tentunya akan membantu merancakkan perjalanan sukan hoki di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan malam tadi.

Untuk rekod, KHM terpaksa menunda kejohanan TNB MHL 2021 yang dijadual bermula pada 14 Jan ke Julai atau Ogos depan, selaras dengan pengumuman pelaksanaan semula PKP bermula 13 hingga 26 Jan lepas.

Subahan berkata pihaknya akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan selepas mendapat kelulusan pihak kerajaan akan dipatuhi sepenuhnya ketika penganjuran TNB MHL 2021.

Beliau berharap semua pihak akan bersama-sama menunjukkan tahap disiplin tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat supaya kelulusan diberikan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

“KHM menyokong penuh dan menyambut baik usaha KBS menerusi Menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP 2.0.

“Pada masa sama juga KHM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keprihatinan beliau untuk mendengar dan meneliti cadangan dibentangkan oleh KBS yang tentunya memberi kelegaan kepada penggiat sukan negara sekiranya cadangan tersebut diluluskan,” tegasnya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading