
“NAK dikatakan logo tersebut adalah rasmi bakal digunakan untuk Perak FC mulai 2021 tak boleh lagi sebab Perak FA hanya melepaskan (mengeluarkan) satu video tanpa penerangan yang terperinci.
Jelas Setiausaha Kelab Seladang (Seladang Fan Club), Ahmad Razmi kepada Cakap Sukan sebentar tadi.
Baru-baru ini, rata-rata penyokong The Bos Gaurus mengecam secara berjemaah selepas Perak FC telah berkongsi satu video di laman media sosial rasmi pasukan dimana terdapat rekaan logo baharu yang mungkin digunakan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, kata Ahmad Razmi, pihaknya juga belum pasti adakah logo rasmi itu bakal digunakan bagi musim ini.
“Tiada penerangan (serta kesahihan) apakah logo tersebut telah didaftar dengan MFL (Malaysian Football League) juga tidak disahkan oleh mana-mana pihak sama ada Perak FA atau MFL sendiri.
“Walaubagaimanapun, jika ada benar itu adalah logo rasmi Perak FC, kita sebagai penyokong pasukan cuma mampu melepaskan kemarahan kerana cara pemilihan logo, sentimen kandungan logo, tidak diterangkan kepada penyokong.
“Kami di kelab Seladang juga amat terkejut dengan cara ini. Kita sebagai penyokong adalah salah satu pemegang taruh terhadap perjalanan pasukan.
“Maka adalah lebih molek perkara ini dibawa bincang dan membuka ruang untuk penyokong dan peminat sama-sama membabitkan diri dalam memberi idea logo baru,” ujarnya lagi.
Tambahnya, logo Perak FA sudah sinonim dan telah digunapakai sejak mula penubuhan persatuan dan adalah lebih baik kalau terus menggunakan logo yang sama.
Mengenai persediaan pasukan Perak FC bagi mengharungi musim 2021, Ahmad Razmi yakin persiapan pasukan nampak sudah melakukan persediaan terbaik.
“Walaupun terencat sedikit kerana perubahan pucuk pimpinan persatuan mahupun pasukan sendiri, kita yakin Perak FC akan bersedia menghadapi musim baru ini,” katanya.





Add Comment